AGENDA

Sultan Selangor mahu pemantauan terus dibuat, bendung ajaran sesat

26 Mac 2025, 3:10 PM
Sultan Selangor mahu pemantauan terus dibuat, bendung ajaran sesat

SHAH ALAM, 26 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mahu pemantauan berterusan dilaksana bagi membendung ajaran sesat, khususnya terhadap kumpulan yang telah berdepan tindakan undang-undang.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah usaha itu perlu dilakukan bagi memastikan kumpulan tersebut tidak bergerak semula seperti yang berlaku dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH).

“Beta mahu gejala ini dicegah dari peringkat awal lagi supaya ajaran sesat ini tidak terus berkembang dan merosakkan akidah umat Islam.

“Bagi kumpulan ajaran sesat yang telah diambil tindakan undang-undang, pemantauan harus terus dilakukan agar ia tidak hidup semula seperti kumpulan Al Arqam yang telah diharamkan kemudiannya bergerak bawah nama Rufaqa’ dan akhirnya GISBH,” titah Baginda.

Baginda menyampaikan titah pada majlis berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Raja Bendahara Tengku Badar Shah, Denai Alam di sini, hari ini, yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin mengingatkan umat Islam khususnya di Selangor agar sentiasa memperkukuh iman dan akidah supaya tidak mudah terpesong dengan sebarang ajaran atau fahaman yang bercanggah.

Titah Baginda, sebarang percanggahan dari fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah hendaklah dicegah kerana akan membangkitkan kekeliruan kepada umat Islam sehingga mengakibatkan perpecahan.

“Jika terdapat sebarang bentuk ajaran atau fahaman baru yang mengelirukan, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk merujuk kepada mufti dan fatwa yang telah dikeluarkan.

“Laporan segera juga hendaklah dibuat kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi tujuan penguatkuasaan. Ini termasuklah juga ajaran-ajaran sesat yang dilihat semakin bercambah sejak kebelakangan ini, ” titah Baginda.

Pada 20 September tahun lalu, Sultan Selangor menzahirkan rasa dukacita dengan berita berkaitan siasatan pihak polis terhadap kegiatan jenayah oleh GISBH dan rangkaiannya.

Sehubungan itu, Baginda bertitah semua rumah amal dan sekolah Islam bawah kawalan GISBH dan rangkaiannya yang tidak berdaftar atau disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah termasuk jenayah syariah, diarahkan tutup dengan segera dan tidak dibenarkan beroperasi di Selangor.

Pada 10 September, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam operasi itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619