Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 26 MAC: Teknologi pemantauan jalan raya yang dibangunkan Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) berpotensi diperluaskan sekali gus meningkatkan kualiti penyenggaraan di seluruh negara.
Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata pihaknya mahu menjalin kerjasama dengan syarikat penyelenggara jalan negeri itu bagi membolehkan sistem pengurusan pintar digunakan di peringkat persekutuan.
"Infrasel ada bilik gerakan yang sangat canggih, bagaimana untuk pantau lokasi-lokasi bermasalah di negeri ini, jadi saya memang sangat kagum apabila ditunjukkan bagaimana sistem ini sudah ada.
"Sistem membolehkan pemantauan yang lebih berkesan dan secara masa nyata terhadap keadaan jalan raya di Selangor, saya melihat mungkin di peringkat Kementerian Kerja Raya nanti mahu mempunyai fasiliti yang sama melalui kerjasama dengan Infrasel," katanya.
Beliau ditemui selepas melawat pusat pemantauan Infrasel semalam. Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan) Dato' Johary Anuar dan Ketua Pegawai Eksekutif Infrasel Sdn Bhd Mohammed Fariz Ghazali.
[caption id="attachment_693352" align="aligncenter" width="697"] Ketua Pegawai Eksekutif Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) Mohammed Fariz Ghazali memberi penerangan mengenai sistem pemantauan jalan negeri kepada delegasi Kementerian Kerja Raya di pusat pemantauan Infrasel, Shah Alam pada 26 Mac 2025. Foto Facebook Kementerian Kerja Raya Malaysia[/caption]
Beliau menambah aplikasi aduan MyJalan juga boleh dipertingkat dan diperluaskan di seluruh negara melalui penggunaan teknologi itu bagi memastikan jalan raya lebih selamat serta selesa untuk pengguna.
"Pengguna tidak peduli sama ada jalan itu milik persekutuan atau negeri, mereka hanya mahukan jalan yang selamat dan elok.
"Yang penting, jalan berlubang, rosak dan sebagainya kita mesti mendapat maklumat secara masa nyata di mana jalan yang rosak itu dengan terkini, rakyat pun tidak mahu tunggu setiap hari baru baiki jalan, sebab itu sistem untuk perolehan data itu penting,"ujarnya lagi.
Beliau turut menekankan kepentingan sistem pengumpulan data yang efisien bagi mengenal pasti lokasi jalan berlubang dan kerosakan lain yang boleh menyebabkan kemalangan.