EXCO

Bentuk sahsiah generasi pelapis, Selangor anjur banyak program agama, rohani

26 Mac 2025, 12:30 AM
Bentuk sahsiah generasi pelapis, Selangor anjur banyak program agama, rohani

SHAH ALAM, 26 MAC: Kerajaan Negeri akan menganjurkan lebih banyak program kerohanian dan keagamaan khusus untuk golongan belia sekali gus membentuk sahsiah generasi pelapis.

EXCO Belia Mohd Najwan Halimi berkata pendidikan agama serta amalan membaca al-Quran penting untuk menerapkan nilai moral termasuk memastikan anak muda mempunyai tujuan yang jelas dalam kehidupan.

“Kerajaan Negeri bercadang mahu libatkan golongan pelajar sekolah menengah terlebih dahulu kerana mereka adalah anak muda yang bakal ke alam universiti serta kelompok agak terkesan dengan pelbagai cabaran sosial.

“Kita sentiasa melihat kepada pelaksanaan program kerohanian dan akan berbincang dengan Penggerak Belia Selangor supaya usaha ini dipertingkatkan. Kita tidak mahu program dianjurkan kepada belia hanya menyentuh program berbentuk fizikal semata-mata.

“Bagaimanapun, usaha ini bukan tanggungjawab Kerajaan Negeri sebaliknya ibu bapa perlu memainkan peranan dengan mendidik mereka dengan agama dan dekat dengan al-Quran bermula dari rumah,” katanya selepas merasmikan majlis World #QuranHour semalam.

Majlis anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) memilih Surah As-Saff untuk dibaca dan dihayati sempena sambutan World #QuranHour.

Mengulas lanjut, Mohd Najwan memaklumkan program bacaan al-Quran itu memberi impak yang besar dalam kehidupan umat Islam dan seharusnya diamalkan setiap hari.

“Mesej program ini jelas iaitu membudayakan al-Quran dalam kehidupan khususnya kanak-kanak dan golongan muda. Sekiranya diterapkan dari kecil, kelak kita akan menjadi dewasa sebagai umat Islam yang faham dengan intipati kitab suci ini.

“Saya harap semua umat Islam tidak kecilkan skop membaca al-Quran pada bulan tertentu sahaja sebaliknya perlu istiqamah serta jadikan budaya dalam kehidupan harian,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619