SHAH ALAM, 25 MAC: "Seronoknya, saya anak Selangor (yang bertuah) kerana terlibat dengan pembangunan di Shah Alam,” demikian luah penduduk terawal Kampung Padang Jawa di Seksyen 16, di sini.
Suraman Mohd Shaher, 76, yang bekerja dengan syarikat pembinaan selama lebih dua dekad berkata bandar raya itu mengalami banyak perubahan, dengan pembangunan pesat bermula sekitar 1970-an.
“Lewat 1970-an, banyak syarikat industri dan kilang-kilang masuk. Pada waktu itulah, perumahan mula banyak dibina dan komuniti pun mula dibentuk di beberapa kawasan.
“Kalau bercakap mengenai pentadbiran pula, saya secara peribadi mengagumi ketokohan Menteri Besar Allahyarham Dato’ Harun Idris,” kata anak kelahiran Kampung Padang Jawa ini dalam nada sebak.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) sempena program ziarah warga emas dan penduduk asal sempena Aidilfitri.
MBSA turut menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan dan duit raya yang disempurnakan Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh.
[caption id="attachment_693230" align="alignnone" width="770"] Pemangku Timbalan Datuk Bandar Shah Alam Madiyan Baweh (tiga, kiri) menyampaikan sumbangan kepada Khalid Mahmud pada Program Sumbangan Prihatin Ziarah Warga Tertua @ Orang Asal Sempena Aidilfitri 2025 di Taman Baru Padang Jawa, Kampung Padang Jawa, Klang pada 25 Mac 2025. Foto NUR FATIHAH HAMIZI/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sementara itu, warga emas, Khalid Mahmud, 78, meluahkan rasa gembira dan terharu terhadap keprihatinan MBSA khususnya dalam menyantuni masyarakat.
Beliau yang tinggal di Kampung Padang Jawa sejak tahun 1978 juga menyifatkan MBSA berjaya membangunkan Shah Alam dengan pembangunan terancang dan terkawal.
“Dulu di Shah Alam tiada apa-apa, sekarang banyak perbezaan, dulu hanya ada kelapa sawit sahaja. Sekarang semuanya ada, kompleks beli-belah dan banyak pembangunan lain,” katanya.