AGENDA

Sistem MAHB diserang, PM tolak tuntutan penggodam USD10 juta

25 Mac 2025, 5:29 AM
Sistem MAHB diserang, PM tolak tuntutan penggodam USD10 juta

KUALA LUMPUR, 25 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan sistem digital Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) telah diserang baru-baru ini dengan penggodam menuntut bayaran USD10 juta.

Beliau berkata kerajaan bagaimanapun tidak tunduk kepada ugutan itu, selain menyatakan keperluan meningkatkan sistem negara dengan dana tambahan kepada beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia.

"Semalam kita bicara tentang serangan siber dan hacking (godam) dan agak berat terhadap MAHB. Jadi perbincangan bagaimana menyelesaikan, termasuk tuntutan daripada penggodam untuk memperolehi dana USD10 juta atau sebagainya, saya dimaklumkan.

"Saya tak tunggu lima saat. Saya terus jawab "No". Tidak mungkin negara ini akan selamat kalau pimpinan dan sistemnya mengizinkan kita tunduk kepada ultimatum penjenayah dan perkhianatan," katanya pada Sambutan Hari Polis Ke-218 di Pusat Latihan Polis, di sini.

Perdana Menteri bagaimanapun tidak memperincikan lebih lanjut tentang serangan siber terhadap sistem MAHB tersebut.

Bersempena dengan Sambutan Hari Polis, Anwar berharap PDRM meningkatkan kekuatan pasukan termasuk bersikap lebih tegas terhadap isu rasuah, tatakelola dan tidak menyerah kepada mana-mana pihak yang membuat ugutan.

“Saya yakin bila bicara soal pembanterasan rasuah dan tatakelola, sekiranya agensi penguat kuasa seperti PDRM dan lain-lain secara tegas dan keras untuk satu dua tahun ini, tidak tolak ansur sama sekali, tidak peduli pangkat dan pengaruh mereka, ambil tindakan sekeras-kerasnya… saya yakin suasana suasana politik dan iklim negara ini akan jauh lebih baik,” kata beliau.

Turut hadir pada sambutan itu Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Timbalannya Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619