ad
AGENDA

Op Selamat mula 29 Mac, ribuan anggota pantau lokasi panas seluruh negara

23 Mac 2025, 12:30 PM
Op Selamat mula 29 Mac, ribuan anggota pantau lokasi panas seluruh negara

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Sebanyak 6,957 pegawai dan anggota trafik akan bertugas sepanjang Op Selamat 24 sempena Aidilfitri bermula 29 Mac hingga 3 April ini.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata jumlah berkenaan melibatkan 871 pegawai dan 6,086 anggota.

Beliau berkata 25 lokasi ‘hotspot’ atau kerap berlaku kemalangan serta 46 lokasi ‘blackspot' yang kerap berlaku kemalangan maut di lebuh raya utama di seluruh negara dikenal pasti dan pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memberi bantuan kepada pengguna sekiranya menghadapi kerosakan kenderaan atau kecemasan yang memerlukan perhatian segera.

"JSPT juga telah mengenal pasti 407 lokasi panas dan 76 lokasi hitam melibatkan jalan persekutuan, jalan negeri dan jalan bandaran di seluruh negara bagi memastikan semua pengguna jalan raya dapat menggunakan jalan terbabit dengan selamat dan selesa," katanya pada sidang media selepas Program Advokasi Op Selamat 24 Sempena Aidilfitri di sini hari ini.

Mohd Yusri berkata Op Selamat 24 masih mengekalkan tema yang sama iaitu “Rumah Selamat, Selamat Sampai Ke Destinasi”.

Beliau berkata pendekatan kempen berteraskan penguatkuasaan penuh masih dikekalkan bertujuan mendidik pengguna jalan raya agar lebih berhemah.

Selain itu, Mohd Yusri turut mengumumkan pelaksanaan Op Lancar bermula hari ini hingga 6 April depan bagi memastikan kelancaran aliran trafik sempena musim perayaan ini.

Melalui Op Lancar, katanya pihak polis akan membuat pemantauan kesesakan lalu lintas di lebuh raya dan jalan-jalan dijangka berlaku pertambahan kenderaan menerusi udara dengan bantuan Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia.

"Pihak JSPT juga akan mengadakan advokasi dan kempen kesedaran keselamatan jalan raya melalui program bersama masyarakat dan pengumuman melalui media massa," katanya.

Beliau menasihati pengguna yang ingin pulang ke kampung sempena Aidilfitri supaya mematuhi peraturan jalan raya dan arahan anggota trafik bertugas.

"Pemandu juga perlu memastikan kereta dalam keadaan baik dan selamat selain mendapat rehat secukupnya," katanya.

-BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.