AGENDA

Menteri: Rakyat Malaysia pemurah, sentiasa bantu golongan memerlukan

23 Mac 2025, 9:05 AM
Menteri: Rakyat Malaysia pemurah, sentiasa bantu golongan memerlukan

KUCHING, 23 MAC: Rakyat Malaysia dikenal pasti sebagai masyarakat yang pemurah dan sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada kumpulan sasar bagi meringankan beban mereka dalam menyambut perayaan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri.

Beliau berkata semakin ramai organisasi dan individu tampil mendapatkan panduan daripada kementerian serta agensi berkaitan mengenai platform yang sesuai untuk menyalurkan sumbangan mereka.

“Ada antara mereka yang bertanya bagaimana cara untuk membantu, jadi kami membantu dengan memberikan nama serta menghubungkan mereka kepada saluran yang tepat.

"Rakyat Malaysia memang pemurah, mereka mahu membantu kerana kumpulan sasar ini ramai dan berada di seluruh negara,” katanya pada sidang media Program Sinar Syawal YKN 2025 di sini, hari ini.

Terdahulu, Nancy yang juga Pengerusi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyantuni 150 kanak-kanak daripada kumpulan sasar di kawasan Parlimen Santubong dengan menyampaikan sumbangan pakaian raya baharu.

Selain itu, Alliance Islamic Bank Berhad selaku penaja program turut menghulurkan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang terlibat.

“Semalam, program sama diadakan di Lundu melibatkan 50 kanak-kanak. Secara keseluruhannya, seramai 200 kanak-kanak dari sekitar Kuching menerima sumbangan ini,” katanya.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619