AGENDA

Wisma Putra perkenal logo halal negara ASEAN menerusi video di TikTok

23 Mac 2025, 4:30 AM
Wisma Putra perkenal logo halal negara ASEAN menerusi video di TikTok

KUALA LUMPUR, 23 MAC: Kementerian Luar Negeri memperkenalkan logo halal negara ASEAN menerusi video ringkas di platform TikTok, bagi memudahkan pengguna Muslim mengenali logo sah dan dipercayai ketika melancong ke negara jiran.

Video berdurasi satu minit 16 saat itu dimulakan dengan seruan, “Jom kenali logo halal di negara ASEAN,” sambil memaparkan logo pensijilan halal negara seperti Brunei, Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

Penekanan turut diberikan kepada logo halal Malaysia yang digambarkan sebagai penanda aras global.

“Logo halal Malaysia bukan sekadar tanda, tapi simbol kepercayaan global,” menurut video itu sambil menjelaskan bahawa logo terbabit diiktiraf oleh lebih 80 badan halal antarabangsa termasuk di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Korea Selatan.

Pensijilan halal Malaysia yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) turut diperincikan sebagai melalui proses ketat dan menyeluruh.

“Setiap pensijilan melalui audit, dari bahan mentah hingga ke pengeluaran, memastikan ia patuh syariah dan kebersihan,” menurut kementerian itu yang juga dikenali sebagai Wisma Putra.

Wisma Putra turut memaklumkan bahawa logo halal dari Laos, Myanmar dan Kemboja masih belum mendapat pengiktirafan Jakim setakat ini.

Usaha itu sejajar dengan komitmen Malaysia untuk memperkukuh kerjasama serantau menerusi diplomasi halal dan menyampaikan maklumat bermanfaat kepada rakyat, khususnya mereka yang sering berkunjung ke negara ASEAN.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619