AGENDA

PM seru umat Islam jadikan Ramadan medan latih integriti, disiplin diri

22 Mac 2025, 12:15 PM
PM seru umat Islam jadikan Ramadan medan latih integriti, disiplin diri

TUARAN, 22 MAC: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyeru umat Islam agar menjadikan bulan Ramadan sebagai medan bagi melatih integriti dan disiplin diri.

Beliau berkata dalam bulan Ramadan, umat Islam wajib berpuasa dan ibadah itu sendiri melatih diri erti integriti serta disiplin dalam meningkatkan ketakwaan dan keyakinan kepada Allah.

“Siapa yang tahu kamu puasa atau tidak, itu hanya kamu dan Allah. Jadi, ini sendiri melatih integriti dan disiplin dalam menunaikan ibadah puasa.

"Kita dilatih untuk berpuasa, apa erti disiplin, integriti dan keperibadian unggul kerana kita dilatih bertanggungjawab kepada Allah. Integriti ini dilatih semasa Ramadan," katanya ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Madani Peringkat Negeri Sabah di Padang Istiadat di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick.

Anwar berkata Ramadan juga mengajar dimensi kemanusiaan kepada umat Islam dengan merasai sendiri pelbagai cabaran antaranya lapar dan dahaga selain kesukaran yang dialami golongan kurang berkemampuan.

“ ...Ramadan mengajar kita ada nilai Rahmah. Sudah dua pertiga Ramadan ini apakah benar ada kesedaran kita menjaga orang miskin. Kalau betul, kita bantu anak yatim dan orang miskin pada Ramadan ini supaya mereka sambut Aidilfitri dengan gembira.

"Ramadan mengajar kita untuk lebih prihatin terhadap jiran tetangga yang susah. Kita dapat merasai bagaimana sukarnya hidup dalam kemiskinan," katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam untuk memakmurkan masjid dan menunaikan tanggungjawab membayar zakat bagi membantu golongan yang memerlukan.

"Bayar zakat sekali lagi mengingatkan kita (bahawa) ini instrumen ekonomi penting untuk bantu rakyat yang susah. Di sekeliling kita masih ada yang merempat hidupnya," kata Perdana Menteri.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619