AGENDA

Thailand hantar pulang 4,895 mangsa sindiket kerja Myanmar

21 Mac 2025, 1:45 PM
Thailand hantar pulang 4,895 mangsa sindiket kerja Myanmar

BANGKOK, 21 MAC: Seramai 4,895 individu yang diselamatkan daripada sindiket penipuan pekerjaan di Myanmar telah dihantar pulang ke negara masing-masing, menurut Kementerian Luar Thailand.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan merangkap Jurucakap Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura, berkata berdasarkan maklumat yang diterima pada 11 Mac dari Myanmar, pihak berkuasa Thailand memperoleh senarai 7,372 warga asing yang telah diselamatkan di negara itu.

“Daripada jumlah keseluruhan yang diselamatkan, Kementerian Luar Thailand telah memudah cara penghantaran pulang 4,895 individu ke negara asal masing-masing. Majoritinya adalah warga China seramai 3,634 orang, diikuti 653 warga Indonesia, 549 warga India, dan lain-lain daripada pelbagai kewarganegaraan,” katanya pada sidang media pada Jumaat.

Nikorndej menyatakan kira-kira 2,400 individu atau mungkin lebih masih berada di Myanmar.

“Kementerian Luar Thailand akan terus berkoordinasi rapat dengan kedutaan asing bagi memastikan penghantaran pulang mereka dapat dilaksanakan dengan segera,” tambahnya.

Pada 6 Mac, Kementerian Luar Thailand mengumumkan bahawa kerajaan menyasarkan untuk menghantar pulang 1,500 individu, atau 300 orang setiap hari bekerja, dengan penghantaran pulang warga China dijadualkan setiap Rabu, Khamis, dan Jumaat.

-- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619