AGENDA

Jakim anjur solat hajat solidariti Palestin hingga akhir Ramadan

19 Mac 2025, 12:13 PM
Jakim anjur solat hajat solidariti Palestin hingga akhir Ramadan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Sebagai tanda solidariti dan doa buat saudara seagama di Palestin, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan menganjurkan solat hajat setiap malam di tiga masjid utama di bawah seliaannya bermula hari ini hingga akhir Ramadan.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee dalam kenyataan hari ini berkata masjid yang akan terlibat ialah Masjid Negara, Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin pada setiap malam selepas solat Isyak.

Belia berkata tindakan Israel melancarkan serangan udara di Semenanjung Gaza yang mengorbankan 404 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak serta mencederakan 562 yang lain merupakan pengkhianatan terhadap perjanjian gencatan senjata dan kezaliman berterusan ke atas rakyat Palestin.

“Marilah bersama-sama bermunajat kepada Allah SWT, tambahan pula keberadaan kita di bulan Ramadan yang mulia ini, agar diberikan keselamatan dan kemenangan kepada rakyat Palestin yang terus dizalimi dan ditindas tanpa belas kasihan.

“Semoga di bulan yang penuh rahmat ini, Allah SWT mengabulkan doa kita untuk mereka yang sedang berjuang di jalan-Nya,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa Malaysia mengutuk serangan terbaharu Israel ke atas Semenanjung Gaza sehingga menyebabkan lapan petugas kemanusiaan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) turut terkorban dalam serangan udara, Sabtu lepas.

Menyifatkan serangan itu sebagai satu perbuatan keji dan tidak dapat dipertahankan, Anwar berkata Malaysia akan terus menyatakan bantahan kepada pimpinan dan komuniti antarabangsa.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619