AGENDA

Dakwaan kes rasuah, Ismail Sabri sambung beri keterangan di SPRM hari ini

19 Mac 2025, 2:46 AM
Dakwaan kes rasuah, Ismail Sabri sambung beri keterangan di SPRM hari ini

PUTRAJAYA, 19 MAC: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyambung proses memberi keterangan bagi membantu siasatan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan beliau.

Kenderaan membawa Perdana Menteri kesembilan itu tiba pada 9.57 pagi dan kehadiran beliau ke ibu pejabat SPRM hari ini merupakan kali kelima bagi tujuan memberi keterangan.

Beliau sepatutnya hadir memberi keterangan semalam namun ditangguhkan atas sebab yang tidak jelas.

Ahli Parlimen Bera itu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau dari Ogos 2021 hingga November 2022.

Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Isnin lepas, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dilaporkan berkata beberapa fail baharu dibuka berhubung siasatan terhadap Ismail Sabri susulan maklumat dan hasil risikan terbaharu pihaknya, dan terdapat banyak lagi perkara yang perlu diajukan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Pada 3 Mac lepas, Azam dilaporkan berkata Ismail Sabri ialah suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram, susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang dan 16 kilogram jongkong emas di dalam sebuah safe house, hasil serbuan SPRM.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619