AGENDA

322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh 5 jam selepas serangan Israel

18 Mac 2025, 9:00 AM
322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh 5 jam selepas serangan Israel

ANKARA, 18 MAC: Pihak berkuasa Gaza melaporkan bahawa lebih 322 rakyat Palestin terbunuh atau hilang dalam tempoh lima jam selepas Israel kembali melancarkan serangan di seluruh Semenanjung Gaza.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah melancarkan serangan udara terbesar ke atas Gaza sejak gencatan senjata dengan Hamas berkuat kuasa pada 19 Januari, lapor Anadolu Ajansi.

"Kekejaman ini sekali lagi membuktikan bahawa tentera penjajah Israel hanya memahami bahasa pembunuhan, kemusnahan dan genosid," menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza.

Kenyataan itu turut menegaskan bahawa serangan berlaku dalam keadaan sekatan masih dikenakan ke atas Gaza serta semua lintasan sempadan ditutup, memburukkan lagi krisis kemanusiaan dan menyebabkan lebih 2.4 juta penduduk terputus bekalan keperluan asas.

Mereka menyeru masyarakat antarabangsa, termasuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan hak asasi manusia, agar segera bertindak menghentikan pembunuhan beramai-ramai ini.

Sementara itu, tentera Israel mendakwa mereka menyasarkan serangan ke atas Hamas bagi mencapai matlamat perang seperti yang ditetapkan oleh kepimpinan politik.

Sebaliknya, Hamas menuduh kerajaan Israel mengisytiharkan perang ke atas Gaza dengan memungkiri perjanjian gencatan senjata.

Walaupun gencatan senjata telah dipersetujui, pihak berkuasa Gaza sebelum ini melaporkan bahawa tentera Israel terus melakukan pelanggaran hampir setiap hari.

- BERNAMA-ANADOLU

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619