TIADA hari tanpa bacaan ayat suci sejak berusia lima tahun. Itu rutin Humairourrohmah Mastor, pemenang hafazan al-Quran peringkat negeri, yang khatam al-Quran pada usia enam tahun.
Saat kanak-kanak sebaya leka bermain patung mainan, beliau lebih tenang berdamping dengan kandungan kitab suci itu. Hari demi hari, Humairourrohmah membaca dan menghafaz kalam-Nya.
Gadis itu juga cuba memahami sekurang-kurangnya satu halaman al-Quran usai solat subuh dan maghrib. Setahun kemudian, anak kelahiran Sabak Bernam itu mula menghafaz kalimah kitab tersebut.
Pada usia sembilan tahun, Humairourrohmah menyertai pelbagai pertandingan tilawah dan hafazan. Menginjak usia 16 tahun, beliau benar-benar mengingati semua 30 juzuk.
“Dek keinginan mahu mengupas makna ayat-ayat al-Quran menjadi faktor saya mendalami hafazan, bukan kerana paksaan ibu bapa," katanya yang kini berusia 22 tahun ketika ditemui Media Selangor pada 7 Februari.
Langkahnya kian jauh. Humairourrohmah mencuba nasib menyertai pertandingan peringkat negeri sejak dua tahun lalu tetapi tidak melepasi peringkat saringan. Hanya tahun ini membuahkan hasil.
[caption id="attachment_691993" align="aligncenter" width="955"] Peserta terbaik keseluruhan Hafazan al-Quran Humairourrohmah Mastor sempena Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalami makna
Beliau muncul johan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 7 Februari. Wanita itu membawa pulang wang tunai RM15,000 dan 20 gram emas selain plak dan sijil. April ini, beliau mewakili Selangor dalam tilawah peringkat kebangsaan di Perlis.
Tiada petua tertentu buat penuntut ijazah sarjana muda jurusan al-Quran dan As-Sunnah Universiti Islam Selangor itu mencapai kejayaan melainkan pemahaman makna ayat memudahkan penghafalan.
"Kaedah yang saya guna pakai adalah memahami terlebih dahulu ayat suci itu sebelum hafal. Cara ini lebih mudah apabila juri tanya soalan, kita dapat bayangkan ayat dimaksudkan.
"Untuk persediaan peringkat kebangsaan, saya akan gandakan ulangan juzuk dan memahami lagi tafsir kitab suci," kata anak ketiga daripada tujuh beradik itu yang turut menganggap kemenangan berkenaan kenangan paling bermakna buatnya serta keluarga.
Lebih-lebih lagi, ibu bapanya Mufarihah Noyo Sarkun dan Mastor Mohd Tohir pemilik Maahad Tahfiz al-Quran Darul Falah di Sungai Besar Sabak Bernam. Mereka inspirasi penting Humairourrohmah.
“Hari-hari memang diisi dengan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, pernah dirotan akibat kenakalan saya. Ibu dan bapa memang tegas bab ini demi masa depan kami.
"Ibu bapa banyak beri semangat dan mendorong menyertai pertandingan ini. Saat nama saya diumum sebagai johan, tiada lain saya fikirkan melainkan mereka, syukur sangat," katanya.
Meski beroleh kemenangan, tiada sekelumit dalam hatinya menelaah al-Quran semata-mata untuk bertanding. Bagi wanita itu, membaca kitab memberi ketenangan, keamanan, petunjuk dan pelbagai kelebihan di akhirat kelak.
"Jangan jadikan bacaan atau hafalan ini asbab pertandingan semata-mata sebaliknya teruskan sahaja mengaji kerana ia membantu kita di akhirat kelak," katanya.
[caption id="attachment_691995" align="aligncenter" width="1246"] Peserta terbaik keseluruhan Tilawah Khairul Zaki Razali (kiri) dan peserta terbaik keseluruhan Hafazan Humairourrohmah Mastor (kanan) pada Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran peringkat negeri Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]