AGENDA

Penerbit 'Bidaah' ditegur Jakim, sedia potong adegan tidak sesuai

15 Mac 2025, 2:20 PM
Penerbit 'Bidaah' ditegur Jakim, sedia potong adegan tidak sesuai

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Penerbit drama bersiri ‘Bidaah’ akur dengan teguran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan bersedia memotong mana-mana adegan yang tidak sesuai untuk tontonan masyarakat di negara ini.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata pihaknya menerusi Ahli Jawatankuasa Penapisan Media Berunsur Islam telah memanggil dan mengadakan pertemuan dengan penerbit ‘Bidaah’ serta meneliti kandungan drama itu merangkumi klip video episod yang mencetuskan kontroversi dan klip video episod yang belum ditayangkan untuk menilai kesan serta implikasi kandungannya.

“Jakim telah membuat teguran dan memberikan penegasan kepada pihak produksi bahawa sebarang karya seni yang dihasilkan perlu selari dengan prinsip akidah, syariah dan akhlak serta tidak menimbulkan fitnah kepada ajaran Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jakim sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan para seniman dan karyawan dalam menghasilkan kandungan yang bermanfaat serta mematuhi garis panduan agama.

Sirajuddin berkata Jakim juga menegaskan bahawa Garis Panduan Penapisan Kandungan Bahan-Bahan Penyiaran Berunsur Islam yang dikeluarkan pada 2015 merupakan rujukan utama bagi semua pihak dalam industri penyiaran.

“Islam tidak menolak kesenian, bahkan mengiktirafnya sebagai antara cara untuk mengekspresikan keindahan yang dianugerahkan Allah SWT dan dakwah kepada masyarakat.

“Namun, seni dalam Islam mesti mematuhi garis panduan syariah, membawa kepada kebaikan dan tidak melalaikan atau mempromosikan perkara yang bertentangan dengan nilai serta etika,” katanya.

Terdahulu, tular dalam media sosial adegan Vanidah Imran sebagai Ummi Rabiatul yang menyentuh janggut Faizal Hussein sebagai Walid menggunakan kakinya sehingga menjadi perdebatan ramai dalam media sosial.

‘Bidaah’ mula ditayangkan menerusi platform penstriman Viu Malaysia pada 6 Mac lepas dan diarahkan oleh Pali Yahya serta diterbitkan produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.

Drama berkenaan berkisarkan kehidupan pengamal ajaran sesat, Walid yang telah tersebar di sebuah perkampungan dengan mengakui merupakan jelmaan Imam Mahdi kepada para pengikutnya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619