AGENDA

25 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar selamat pulang

12 Mac 2025, 11:53 AM
25 rakyat Malaysia mangsa penipuan pekerjaan di Myanmar selamat pulang

BUKIT KAYU HITAM, 12 MAC: Seramai 25 lagi warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan dalam talian di Myawaddy, Myanmar telah selamat tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada 4.40 petang Rabu, menurut Kementerian Luar.

“Kesemua mangsa telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membantu siasatan lanjut,” kata kementerian itu, sambil menyatakan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Yangon dan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memudah cara penghantaran pulang mangsa.

“Mereka merupakan sebahagian daripada warga asing yang diselamatkan oleh pihak berkuasa Myanmar dalam operasi pembanterasan sindiket penipuan dalam talian di kawasan Myawaddy,” menurut Kementerian Luar yang lebih dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini.

Wisma Putra berkata Kedutaan Besar Malaysia di Yangon telah melakukan lawatan konsular ke Myawaddy di Wilayah Kayin, Myanmar bagi mengesahkan identiti rakyat Malaysia sebelum mereka diserahkan kepada pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok.

“Pegawai-pegawai ini bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Thailand di Mae Sot, Wilayah Tak, Thailand, untuk menguruskan kepulangan mereka melalui jalan darat,” katanya.

Menurut Wisma Putra, bantuan konsular menyeluruh telah diberikan oleh kedua-dua Kedutaan Besar Malaysia, termasuk menghubungi waris, mengeluarkan dokumen perjalanan sementara, mengatur pengangkutan, menyediakan barangan keperluan asas seperti makanan dan pelitup muka, serta mengiringi mangsa sepanjang perjalanan mereka dari Mae Sot ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

“Proses penghantaran pulang ini adalah kesinambungan kepada operasi serupa yang sebelum ini dilakukan pada 24 Februari 2025, apabila Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok telah memudah cara kepulangan 15 rakyat Malaysia,” katanya.

Wisma Putra menyatakan bahawa kejayaan proses penghantaran pulang itu turut disumbangkan oleh kerjasama erat dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN), PDRM, Jabatan Imigresen, dan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.

“Kementerian Luar merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan Thailand dan pihak berkuasa di Myanmar atas bantuan mereka dalam menerima dan mempercepatkan proses penghantaran pulang 25 warganegara Malaysia itu.

“Kementerian Luar kekal komited dalam memastikan kebajikan rakyat Malaysia di luar negara dan melalui perwakilan diplomatiknya, akan terus memberikan bantuan konsular apabila diperlukan,” kata Wisma Putra.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619