AGENDA

PPS Dewan Seri Sekinchan diaktifkan, penduduk diminta waspada

11 Mac 2025, 12:12 PM
PPS Dewan Seri Sekinchan diaktifkan, penduduk diminta waspada

SHAH ALAM, 11 MAC: Selangor mengaktifkan pusat pemindahan sementara di Dewan Seri Sekinchan bagi menempatkan penduduk terjejas kejadian ribut kencang dekat Taman Ria, Sekinchan petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sabak Bernam Ali Sadikin Sadin berkata semua agensi berkaitan telah diarahkan untuk bersiap siaga menghadapi situasi itu.

Justeru, penduduk khususnya yang berada di kawasan berisiko, dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa.

"Semua agensi berkaitan diarahkan untuk bersiap siaga termasuk menyediakan bantuan segera kepada mangsa serta melaksanakan pemantauan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mereka terpelihara.

"Orang ramai, dinasihatkan agar mematuhi arahan dan pengumuman rasmi daripada pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang risiko yang tidak diingini," katanya dalam kenyataan.

Petang tadi, kejadian ribut kencang sekali lagi melanda Sekinchan. Bencana itu mengakibatkan 30 buah kediaman di Taman Ria, Sekinchan terjejas.

Terdahulu tular video di media sosial memaparkan bumbung kediaman penduduk diterbangkan ribut dan air hujan memasuki rumah mereka.

Pada 6 Mac lalu, lapan rumah musnah akibat ribut kencang di Parit 4, Sungai Burong, bagaimanapun tiada mangsa cedera atau maut dalam kejadian jam 7.30 pagi itu.

Selain rumah, Sekolah Kebangsaan Parit 4 turut mengalami kerosakan bumbung, kuarters guru, kantin dan garaj kereta.

Berikutan kejadian itu, Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan RM500 kepada semua mangsa yang kediamannya mengalami rosak teruk.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619