AGENDA

Kerajaan mahu guna kepakaran anak tempatan tingkat keselamatan siber negara

11 Mac 2025, 6:37 AM
Kerajaan mahu guna kepakaran anak tempatan tingkat keselamatan siber negara

KUALA LUMPUR, 11 MAC: Anak-anak tempatan berkepakaran dalam keselamatan siber diseru bekerjasama dengan kerajaan agar ekosistem keselamatan siber di negara ini dapat dipertingkatkan dengan lebih menyeluruh.

Perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa mempengerusikan Mesyuarat Keselamatan Siber Negara Bilangan 1/2025 hari ini.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata kerajaan mempunyai keyakinan tinggi terhadap kepakaran tempatan dalam berhadapan cabaran keselamatan siber.

“Keupayaan agensi berkaitan dengan kerjasama pelbagai institusi pendidikan serta industri tempatan mampu memastikan Malaysia sentiasa bersedia dan berupaya menghadapi ancaman siber semasa dan akan datang,” katanya.

Tunku Nashrul berkata demikian pada taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan secara langsung di Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Beliau berkata dalam mesyuarat tersebut Perdana Menteri sekali lagi menegaskan mengenai kepentingan keselamatan siber yang menjadi keutamaan negara.

Tunku Nashrul berkata kerajaan, pihak swasta dan rakyat mempunyai peranan memastikan Malaysia berdaya tahan mendepani cabaran keselamatan siber.

Beliau berkata mesyuarat turut mengambil maklum dan berbincang mengenai pembentangan berhubung situasi semasa keselamatan siber negara yang secara umumnya menunjukkan trend penurunan insiden keselamatan siber dari tahun 2023 hingga 2024.

“Turut dibentangkan adalah status pelaksanaan Akta Keselamatan Siber 2024 [Akta 854] yang terus diperkukuhkan melalui tambahan pelantikan ketua sektor infrastruktur maklumat kritikal negara (NCII) dan pakar keselamatan siber,” katanya.

Tunku Nashrul berkata pembentangan lain merujuk kepada penganjuran Cyber Games dan persidangan peringkat ASEAN mengenai jenayah siber oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Council of Europe dan Interpol pada Mei ini.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619