AGENDA

Penjenayah bermotosikal maut ditembak, dipercayai warga asing

11 Mac 2025, 5:55 AM
Penjenayah bermotosikal maut ditembak, dipercayai warga asing

BUKIT MERTAJAM, 11 MAC: Seorang penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok di sini pagi tadi.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Hamzah Ahmad berkata dalam kejadian 2.20 pagi itu, pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang yang menjalankan rondaan di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuah motosikal jenis Yamaha Lagenda 115ZR ditunggang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata anggota terlibat kemudian menghampiri motosikal berkenaan dan memperkenalkan diri sebagai polis lalu mengarahkannya berhenti bagi tujuan pemeriksaan.

“Suspek sebaliknya terus memecut laju. Polis bertindak mengejar dan berjaya memintas, namun secara tiba-tiba lelaki berkenaan melepaskan beberapa das tembakan ke arah anggota polis.

“Bagi mempertahankan diri dan pasukan, polis berbalas tembakan dengan lelaki terbabit sebelum dia rebah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata pemeriksaan kemudiannya menemukan sepucuk pistol jenis Glock dan sejumlah dadah disyaki heroin bersama lelaki berkenaan.

Beliau berkata identiti suspek belum dapat dikenal pasti berikutan tiada sebarang pengenalan diri ditemui, namun lelaki itu disyaki warga asing dan berusia lingkungan 30-an.

Menurut Hamzah siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti lebih Berat) 1971, Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619