Meski bukan beragama Islam, pemegang Malaysia Book of Records ratu cantik paling banyak memiliki ijazah telah pun berpuasa sepanjang Ramadan sejak 14 tahun lalu.
Sememangnya Dr Soo Wincci memasang hasrat itu ketika bersekolah menengah lagi. Beliau mahu berlapar dahaga dengan rakan sebaya beragama Islam. Namun, khuatir akan stigma masyarakat, beliau menyimpan niat itu.
“Pada waktu itu, saya takut pandangan orang lain. Bimbang mereka kata kalau puasa nanti masuk Islam dan macam-macamlah. Masa itu, saya ramai kawan Melayu. Sebab itu mahu puasa sama-sama.
“Sejak dari itu mula simpan niat, kalau habis belajar dan saya masih berada dalam kelompok Melayu ramai, saya akan berpuasa. Ketika itu sudah bernazar,” katanya yang kini berusia 40 tahun.
Hanya selepas muncul sebagai empat peserta terbaik program MasterChef Selebriti Malaysia pada 2012 bersama Fazley Yaakob, Angah Raja Lawak dan Juliza Adzlizan, beliau mula cuba-cuba berpuasa.
Pada tahun pertama anak kelahiran Petaling Jaya itu 'kalah', hanya bertahan beberapa hari. Masuk tahun kedua, kakak sulung dari dua beradik itu dapat membiasakan diri. Beliau mula merasai nikmatnya.
Puasa bukan melemahkan sebaliknya menjadikannya lebih segar. Tubuh terasa lebih segar seperti didetoksifikasi, katanya. Bahkan beliau kekal bertenaga sepanjang hari hasil sahur seimbang.
“Ramai beranggapan makan banyak waktu sahur akan membuatkan kita kurang lapar. Sebenarnya, ia boleh menyebabkan kita cepat letih terutama menjelang petang.
“Minuman campuran seperti kurma merah, kulat putih (white fungus), kacang soya, pandan dan kelopak bunga ros bukan sahaja sedap tetapi juga bertindak sebagai detoks, baik untuk kulit dan membantu melancarkan peredaran darah,” katanya sambil berkongsi petua.
Amalan tersebut juga menjadi ikutan sebahagian rakan dan peminat berketurunan Cina. Pelakon filem Kau Yang Satu itu turut mengamalkan puasa sunat enam pada Syawal. Beliau juga menolak tanggapan segelintir pihak kononnya amalan itu bertujuan menjual produk tertentu.
“Kalau mereka kata kerana ‘marketing’, saya jual produk apa? Cuba tengok di media sosial saya, tiada produk untuk saya lariskan. Bukan juga buat ini (puasa) untuk disayangi atau dibenci. Semuanya kerana diri sendiri,” katanya.
Selain itu, pemegang dua sijil doktor falsafah (PhD) itu menasihati remaja generasi Zoomers atau Gen Z tidak mudah terpedaya dengan dunia media sosial sehingga mengabai pendidikan.
“Media sosial tidak salah tetapi jangan tinggalkan pelajaran kerana platform itu tidak kekal. Sejak zaman Friendster, MySpace kemudian ia berubah-ubah, menunjukkan ia tidak kekal lama.
“Jika kita hendak kejar teknologi, perlu belajar. Sebab itu, saya sentiasa belajar perkara baharu. Misalnya PhD pertama saya Strategi Perniagaan kemudian PhD seterusnya bidang muzik.”
Diiktiraf sebagai ‘Top 10 Most Outstanding Young Malaysian Award’ pada 2016, Soo Wincci memiliki diploma kimia, kejuruteraan mekanikal dan ekonomi (A-Level) serta ijazah undang-undang.
“Azam saya ingin miliki lapan PhD, tahun ini mungkin saya akan ambil jurusan Psikologi dan Kriminologi. Mungkin kelihatan sukar azam ini, tapi ini cabaran yang saya mahukan,” katanya.