AGENDA

Menteri: Penolong pegawai perubatan dibenarkan beri preskripsi ubat asas

10 Mac 2025, 9:05 AM
Menteri: Penolong pegawai perubatan dibenarkan beri preskripsi ubat asas

KUALA LUMPUR, 10 MAC: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan pekeliling dalam masa terdekat bagi membenarkan Penolong Pegawai Perubatan (PPP) mengeluarkan preskripsi ubat-ubatan asas untuk rawatan penyakit ringan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia sebahagian daripada usaha KKM bagi mengiktiraf peranan PPP dan dilihat cukup mustahak bagi memberikan perlindungan perundangan kepada mereka.

“Saya lihat perkara ini sangat mustahak, misalnya PPP yang bekerja di kawasan pedalaman seperti Sabah dan Sarawak, mereka (ada yang bekerja) tanpa doktor.

“Pada masa sama, tugas untuk menyelamatkan nyawa dan penduduk luar bandar bergantung kepada mereka (PPP), terutama bagi klinik komuniti,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Pembantu Perubatan Ke-14 Peringkat Kebangsaan 2025 di Hospital Tunku Azizah, di sini hari ini.

Dzulkefly berkata pengeluaran preskripsi ini bagaimanapun hanya boleh dibuat PPP yang mempunyai skop tugasan untuk merawat pesakit, melibatkan kategori ubat-ubatan tertentu seperti demam, batuk, kahak dan cirit-birit.

Beliau berkata pembaharuan ini juga dilaksanakan di bawah bidang kuasa Ketua Pengarah Kesihatan dan tidak memerlukan pindaan terhadap Akta Racun 1952.

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata setakat ini tarikh bagi pelaksanaannya sedang diperhalusi dan akan diputuskan sebelum pekeliling dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, mengenai dakwaan hospital swasta mengenakan caj lebih tinggi kepada pesakit yang mempunyai insurans, Dzulkefly berkata perkara itu sedang disemak pihaknya secara terperinci, berasaskan data dan bukti.

Mengenai arahan paparan harga ubat di fasiliti kesihatan swasta, beliau berkata selepas sesi libat urus dengan pengamal perubatan am swasta (GP), kerajaan telah menyatakan kesediaan untuk menangguhkan pelaksanaannya sehingga 1 Mei ini.

“Saya telah beri komitmen untuk semak semula caj perundingan bagi GP, kerana ia sudah lama tidak dikaji semula. Hanya adil untuk saya memperjuangkan perkara ini demi mereka, dan dengan itu, mereka juga bersedia untuk akhirnya memaparkan harga dalam proses libat urus,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619