AGENDA

'Apa kita nak makan hari ini', rintih anak Palestin selepas Israel sekat bantuan

10 Mac 2025, 6:45 AM
'Apa kita nak makan hari ini', rintih anak Palestin selepas Israel sekat bantuan

GAZA, 10 MAC: Ramadan yang sepatutnya menjadi bulan keberkatan dan kegembiraan kini bertukar menjadi ujian berat bagi penduduk Gaza yang terus dihimpit dengan sekatan bantuan Israel.

Abdullah al-Ashqar, 45, seorang pekerja di tapak pembinaan dan bapa kepada lima anak hanya mampu berdiri di hadapan rak-rak kedai runcit yang kosong, dihiasi tanda harga yang melambung tinggi.

"Dahulu, Ramadan membawa kegembiraan buat kami. Kami akan berkumpul di sekeliling meja, berbuka puasa bersama dan bau roti segar memenuhi segenap penjuru rumah," kenang al-Ashqar.

Pada awal Mac, pihak berkuasa Israel menyekat bantuan kemanusiaan ke Gaza dengan alasan tamatnya fasa pertama perjanjian gencatan senjata dengan Hamas, yang menyebabkan penutupan pintu sempadan Kerem Shalom – laluan utama Gaza untuk mendapatkan makanan, ubat dan bahan bakar.

Sekatan itu berlaku tepat pada saat lebih dua juta penduduk Gaza bersiap menyambut Ramadan, dengan banyak keluarga melalui bulan mulia ini dengan perut kosong, lapor Xinhua.

"Anak-anak saya bertanya setiap hari, 'Apa yang kita nak makan hari ini?’ Malangnya saya tiada jawapan," kata al-Ashqar.

Sebelum konflik, pendapatannya cukup untuk membeli keperluan asas.

Kini, dengan rantaian bekalan terputus, barangan keperluan telah menjadi kemewahan yang tidak mampu dimiliki.

Di seluruh Bandar Gaza, pasar yang suatu ketika dahulu sibuk kini sepi. Peniaga makanan seperti Mahmoud al-Far hanya mampu melihat dengan rasa tidak berdaya ketika pelanggan bertanya tentang harga tetapi kemudian pergi dengan tangan kosong.

"Penutupan Kerem Shalom bermaksud tiada apa yang masuk," jelas al-Far, sambil menunjukkan rak kosong yang dahulunya dipenuhi beras, gula dan minyak masak.

"Orang datang, bertanya tentang harga dan kemudian berlalu pergi. Mereka tidak mampu membeli walaupun sekadar barangan asas."

Bagi Mariam al-Hattab, seorang ibu kepada tujuh anak yang sebelum ini menyara keluarga dengan bekerja sebagai pembantu rumah, keadaan ini lebih memeritkan.

"Saat paling sukar bagi saya adalah apabila anak bongsu saya meminta makanan, dan saya tiada apa-apa untuk diberi kepadanya.

"Bagaimana anda mahu beritahu seorang anak kecil bahawa tiada apa-apa untuk dimakan?" kata al-Hattab dengan linangan air mata.

Pegawai Hamas menyifatkan sekatan ini sebagai hukuman kolektif.

Salama Maarouf, ketua pejabat media kerajaan yang dikendalikan Hamas menegaskan bahawa "penutupan pintu sempadan Kerem Shalom bermakna menyekat bantuan kemanusiaan, menghentikan bekalan ubat-ubatan dan mewujudkan situasi kekurangan makanan yang dahsyat."

Sementara itu, Israel mendakwa langkah sekatan adalah perlu atas faktor keselamatan, dengan alasan bimbang bantuan boleh disalahgunakan oleh Hamas untuk tujuan ketenteraan.

Namun, kumpulan kemanusiaan menyifatkan sekatan yang dikenakan kini melangkaui langkah keselamatan dan mengakibatkan bencana kemanusiaan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali memberi amaran bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran.

Di kebanyakan negara Islam, Ramadan adalah bulan yang menyatukan keluarga dan masyarakat dalam semangat persaudaraan dan berkongsi rezeki.

Namun, bagi rakyat Gaza, ia kini menjadi ujian getir yang menguji ketahanan jiwa dan raga.

"Dahulu kami duduk bersama di meja iftar, walaupun sekadar hidangan sederhana.

"Kini, kami duduk diam. Saya tidak mahu anak-anak melihat kesedihan saya, tetapi saya juga tiada apa untuk diberikan kepada mereka," kenang al-Hattab.

- BERNAMA-XINHUA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619