AGENDA

Bah di Sabah makin buruk, mangsa meningkat di PPS Sarawak

9 Mac 2025, 12:52 PM
Bah di Sabah makin buruk, mangsa meningkat di PPS Sarawak

KUALA LUMPUR, 9 MAC: Situasi banjir di Sabah semakin buruk apabila jumlah mangsa yang dipindahkan menunjukkan peningkatan mendadak manakala di Sarawak jumlah mangsa turut meningkat sedikit petang ini.

Di SABAH, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) bertambah kepada 2,785 orang daripada 907 keluarga setakat 4 petang tadi berbanding 1,748 orang daripada 570 keluarga pada 8 pagi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan dua PPS baharu dibuka di Beaufort, menjadikan empat PPS di daerah itu yang menempatkan 1,181 orang daripada 385 keluarga.

Selain itu, satu lagi PPS baharu dibuka di Sook menjadikan dua PPS yang menempatkan 763 orang daripada 241 keluarga manakala 705 orang daripada 231 keluarga dipindahkan ke satu PPS di Membakut, dan 136 orang daripada 50 keluarga dipindahkan ke dua PPS di Keningau.

“Sebanyak 27 kampung terjejas, masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut serta lima di Sook dan dua di Keningau. Trend pemindahan di Keningau dan Sook meningkat manakala daerah lain kekal,” menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke tiga PPS yang dibuka di pekan Trusan meningkat kepada 174 orang pada 3 petang ini berbanding 167 mangsa yang dicatatkan pagi tadi.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri memaklumkan PPS Dewan Masyarakat Trusan kini menempatkan 100 mangsa melibatkan 21 keluarga.

PPS Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) C Chung Hwa pula menempatkan 35 mangsa daripada 15 keluarga manakala PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Lintang menempatkan 39 mangsa.

Timbalan Premier merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan telah melawat dan menyampaikan sumbangan makanan kepada mangsa di tiga PPS berkenaan.

Sementara itu di Limbang, jumlah mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Masyarakat Medamit meningkat kepada 173 orang berbanding 119 orang pada pagi tadi.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619