AGENDA

Dua lelaki didenda miliki mercun, bunga api secara haram

9 Mac 2025, 7:39 AM
Dua lelaki didenda miliki mercun, bunga api secara haram

DUNGUN, 9 MAC: Dua lelaki didenda di Mahkamah Majistret Dungun di sini hari ini selepas mengaku bersalah memiliki pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa permit.

Dalam prosiding yang dijalankan berasingan, Mohd Sofwan Abdul Rahman, 43, dan Zarul Mustakim Jaya@Sidek, 29 masing-masing didenda RM5,300 dan RM3,800 di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Tertuduh juga berhadapan hukuman penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Mereka bagaimanapun membayar denda itu.

Mohd Sofwan yang bekerja sebagai jurukimpal didakwa memiliki 300 kotak kecil mengandungi pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah pada 21 Feb lepas di sebuah rumah atau stor tidak bernombor di Kampung Che Lijah di sini, pada pukul 1 tengah hari.

Zarul Mustakim pula seorang mekanik, didapati memiliki 43 jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah pada 4 Mac lepas, di sebuah rumah di Kampung Burung Baru di sini, pada 12.10 tengah malam.

Ketika ditanya oleh Majistret Nur Amira Fatihah Osman tentang punca mereka melakukan perbuatan itu, masing-masing memberikan alasan berbuat demikian kerana ingin mencari pendapatan lebih bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Azhani Azman, manakala Mohd Sofwan dan Zarul Mustakim masing-masing diwakili peguam Masliela Ismail dan Nur Farahin Shazlin Mohd Redhuan Shah Edwin.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619