ad
AGENDA

Motor bertembung, pelajar tahfiz maut selepas solat tarawih

7 Mac 2025, 4:41 AM
Motor bertembung, pelajar tahfiz maut selepas solat tarawih

KUALA TERENGGANU, 7 MAC: Seorang pelajar tahfiz yang baru pulang menunaikan solat tarawih maut selepas motosikal dinaikinya dilanggar sebuah lagi motosikal di Jalan Kampung Pengadang Baru, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pihaknya menerima laporan pada 10.45 malam dan mangsa dikenali sebagai Muhammad Adam Syakir Rahmat, 19, berasal dari Marang.

“Siasatan awal mendapati Muhammad Adam Syakir dari arah simpang Sungai Rengas menghala ke simpang Taman Adeli 2 dipercayai keluar secara mengejut dari simpang memasuki jalan utama.

“Akibat jarak terlalu dekat, Muhammad Hafeeq Izzuan Mohd Izzad Izzuan, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y125 dan sedang bergerak terus di jalan utama itu telah melanggar bahagian sisi sebelah kanan motosikal jenis Honda RS150R dinaiki mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Azli berkata mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini untuk tindakan lanjut.

“Muhammad Hafeeq Izzuan dari Kampung Gong Kiat yang cedera parah turut dibawa ke hospital sama bagi menerima rawatan,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.