AGENDA

Dua pelajar maut, motosikal dilanggar kereta

7 Mac 2025, 1:36 AM
Dua pelajar maut, motosikal dilanggar kereta

SEREMBAN, 7 MAC: Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah maut selepas motosikal dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta dalam kejadian di Jalan Persiaran Senawang 1 berhampiran persimpangan lampu isyarat Matahari Height menghala ke Paroi, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng motosikal masing-masing berusia 15 dan 16 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu lelaki berumur 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah dan melanggar motosikal jenis Modenas Kriss dinaiki kedua-dua mangsa dan sebuah lagi motosikal jenis Honda Vario yang datang dari arah sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu dan penumpang kereta serta penunggang dan pembonceng sebuah lagi motosikal mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk rawatan lanjut.

Mohamad Hatta berkata kedua-dua mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau turut meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk berhubung dengan pegawai penyiasat kes Insp G. Sankar menerusi talian 014-6000353 atau hadir ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619