AGENDA

Malaysia perluas hubungan ekonomi, kurangkan kebergantungan pasaran tunggal

6 Mac 2025, 12:49 AM
Malaysia perluas hubungan ekonomi, kurangkan kebergantungan pasaran tunggal

KUALA LUMPUR, 6 MAC: Kerajaan akan terus memperkukuh hubungan ekonomi dan diversifikasi pasaran dengan negara-negara utama termasuk negara BRICS, selain memperluas kerjasama dengan negara-negara di Asia, Timur Tengah, Kesatuan Eropah (EU) dan rantau lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada pasaran tunggal.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata sebagai sebuah negara rakan kongsi BRICS, kerajaan akan terus memastikan kepentingan perdagangan Malaysia terpelihara dan tidak terhimpit di antara kuasa-kuasa besar dunia.

Kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka juga akan terus dipertahankan, kata kementerian itu menerusi jawapan lisan di laman sesawang Parlimen di sini semalam.

MITI menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) berhubung status keahlian Malaysia di dalam kumpulan negara-negara BRICS berikutan ancaman Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.

Trump berhasrat untuk menaikkan tarif 150 peratus ke atas Negara-Negara Ahli Penuh BRICS sekiranya mereka cuba untuk menggantikan mata wang dolar AS dengan mata wang lain dalam urusan perdagangan antarabangsa.

Kementerian itu berkata langkah-langkah strategik akan diambil untuk mengimbangi kepentingan negara dengan pendekatan pentadbiran baharu AS, sambil memanfaatkan peluang bagi memperkukuh hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada dengan negara maju itu.

Dalam pada itu, MITI berkata penglibatan Malaysia dengan negara-negara BRICS memberi peluang diversifikasi perdagangan daripada rakan dagang tradisional seperti AS dan Eropah serta meningkatkan aktiviti ekonomi secara keseluruhan melalui peningkatan akses kepada pasaran yang semakin berkembang.

Selain itu, penglibatan ini juga berpotensi untuk menarik pelaburan dalam sektor utama serta membuka peluang pemindahan teknologi bagi meningkatkan keupayaan industri domestik, kata kementerian itu.

Untuk rekod, Malaysia masih belum menjadi Ahli Penuh BRICS, sebaliknya bersama tujuh negara lain iaitu Belarus, Bolivia, Cuba, Kazakstan, Thailand, Uganda, dan Uzbekistan berstatus Negara Rakan Kongsi BRICS sejak 1 Januari 2025.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619