ad
AGENDA

Keputusan PM, MB selesai kes saman cara baik cermin kematangan politik

5 Mac 2025, 10:37 AM
Keputusan PM, MB selesai kes saman cara baik cermin kematangan politik
Keputusan PM, MB selesai kes saman cara baik cermin kematangan politik

SHAH ALAM, 5 MAC: Tindakan perdana menteri dan Dato' Menteri Besar Selangor menyelesaikan kes tuntutan mahkamah secara baik terhadap dua pimpinan pembangkang mencerminkan kematangan politik.

Setiausaha politik kepada Dato' Menteri Besar Selangor berkata langkah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dato' Seri Amirudin Shari turut mencipta persepsi lebih baik dalam kalangan rakyat yang memerhati.

Saifuddin Shafi Muhammad berpendapat tindakan kedua-dua pemimpin itu juga wajar dipuji meskipun ia dipolemikkan sesetengah pihak yang kononnya kecewa apabila peluang tersebut tidak digunakan.

"Tanpa berniat menghalang sebarang tindakan perundangan yang dirasakan perlu, namun akhirnya kita menyedari penyelesaian melalui saman tidak menjamin kesedaran politik.

[caption id="attachment_582147" align="alignright" width="438"] Penyelaras DUN Batang Kali Saifuddin Shafi Muhammad. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]

"(Ini) bagi mereka yang memang berpaksikan kepada sentimen perkauman dan fitnah semata-mata," katanya yang juga penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, kes saman fitnah difailkan Anwar terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad Hashim, selesai secara baik di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.

Saman tersebut berhubung kenyataan berbaur fitnah pada 7 Disember 2022, yang mendakwa perdana menteri berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.

Minggu lalu, Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, memohon maaf kepada Amirudin berhubung kenyataan fitnah mengenai Projek Gerbang Maritim Selangor (SMG).

Berikutan itu, kes saman berjumlah RM10 juta yang difailkan Amirudin terhadap Sanusi, 51, selesai secara baik ketika prosiding dijalankan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata kaedah ‘memaksa’ pelaku fitnah memohon maaf memadai sebagai kemenangan moral untuk membersihkan nama biarpun diakui beberapa kerosakkan politik berlaku.

Malah, beliau menegaskan permohonan maaf menjadi moral kompas untuk terus mempamerkan kematangan politik, mendidik, sekali gus memastikan keluhuran budi mengatasi segalanya.

"Maka, suara-suara sumbang yang berteriakan sepanjang minggu lalu kononnya kecewa dengan tindakan memaafkan Sanusi minggu lalu pasti buntu dengan keputusan Anwar hari ini.

"Sama ada golongan suara sumbang ini akhirnya mengakui ‘kedunguan’ mereka atau tiada keberanian menempelak apabila ia melibatkan pemimpin utama negara, ia tidak dapat dipastikan," tegasnya.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.