AGENDA

Ringgit mengukuh berbanding dolar AS susulan kebimbangan terhadap tarif

5 Mac 2025, 1:26 AM
Ringgit mengukuh berbanding dolar AS susulan kebimbangan terhadap tarif

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Ringgit mengukuh berbanding dolar AS pada sesi pembukaan hari ini berikutan mata wang tersebut rendah selepas kerajaan Amerika Syarikat (AS) mengekalkan keputusannya untuk mengenakan tarif import ke atas Kanada, Mexico dan China, kata penganalisis.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.4465/4585 berbanding dolar AS daripada 4.4635/4680 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 105.57, turun lebih satu peratus.

“Kebimbangan mengenai tarif yang lebih tinggi boleh menyebabkan ekonomi lembap dan mendorong Rizab Persekutuan untuk mengambil pendirian yang lebih berhati-hati terhadap dasar monetari,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata peniaga juga mengambil kira tiga penurunan kadar faedah pada tahun ini.

“Perkembangan mengenai tarif akan menjadi keutamaan dalam jangka masa terdekat berdasarkan situasi yang berubah-ubah, sekali gus mewujudkan peluang dagangan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berpendapat ringgit akan terus diniagakan berhati-hati dengan USD/MYR pada sekitar RM4.45 hingga RM4.47.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.9675/9759 daripada 2.9956/9989 semalam, bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.6884/7038 daripada 5.6789/6846 dan merosot berbanding euro kepada 4.7231/7358 daripada 4.6916/6963 semalam.

Mata wang tempatan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3227/3322 daripada 3.3203/3242 semalam dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.1963/2453 daripada 13.1853/2057.

Sebaliknya, mata wang tempatan mengukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 270.3/271.2 daripada 271.3/271.8 dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.69/7.72 semalam.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619