AGENDA

SPRM: Faktor kesihatan, rakaman keterangan Ismail Sabri esok ditangguh

4 Mac 2025, 2:06 PM
SPRM: Faktor kesihatan, rakaman keterangan Ismail Sabri esok ditangguh

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Rakaman keterangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas perdana menteri itu yang dijadual esok ditangguhkan atas faktor kesihatan.

Menurut sumber, kesihatan Ahli Parlimen Bera itu berada pada tahap rendah dan beliau juga memiliki sijil cuti sakit.

Sehubungan itu, sumber memaklumkan SPRM dijangka merekodkan keterangan bekas perdana menteri kesembilan itu pada 10 pagi Jumaat ini di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki mengesahkan proses rakaman percakapan Ismail Sabri yang dijadualkan esok ditangguhkan dan akan diambil pada hari lain.

Pada 10 Feb lepas, Ismail Sabri telah menghantar maklumat pengisytiharan harta sebelum keterangannya direkodkan pada 19 Feb.

Semalam, Azam dilaporkan berkata bekas pemimpin itu merupakan suspek bagi siasatan kes rasuah serta pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta di dalam sebuah ‘ safehouse’ susulan serbuan dilakukan pihaknya.

Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.

Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu serta membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta dengan kesemua akaun adalah sah dan aktif.

SPRM sebelum ini telah menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan, serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619