AGENDA

Suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak lelaki enam tahun hingga mati

4 Mac 2025, 10:11 AM
Suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak lelaki enam tahun hingga mati

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Polis menahan reman pasangan suami isteri yang merupakan pengasuh selepas disyaki mendera seorang kanak-kanak lelaki berumur enam tahun sehingga menyebabkan kematian dalam kejadian di Kepong, semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang pegawai perubatan berusia 37 tahun di Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang merawat kanak-kanak malang berkenaan selepas dihantar oleh pengasuh.

"Kanak-kanak itu dihantar oleh pengasuh ke wad kecemasan HKL kira-kira 7.30 pagi semalam dan hasil bedah siasat menemui 20 kecederaan pada kepala, badan, tangan, dan kaki yang dipercayai akibat hentakan benda tumpul.

“Susulan itu, polis menahan reman pengasuh dan suaminya, yang kedua-duanya berusia 25 tahun, sehingga 7 Mac ini bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Rusdi berkata siasatan awal mendapati suspek lelaki bekerja sebagai penunggang p-hailing dan wanita terbabit hanya bekerja sebagai pengasuh sepenuh masa serta mengasuh mangsa bersama tiga anak kandungnya yang masing-masing berumur tujuh, enam dan empat tahun.

“Kanak-kanak lelaki itu dijaga oleh pengasuh dan tinggal bersama mereka sejak 21 Jan lepas dan hanya dilawat oleh ibunya berusia 27 tahun seminggu sekali.

“Ibunya membayar RM800 sebulan kepada pengasuh terbabit dan terpaksa menghantar anaknya kerana bekerja syif serta sudah bercerai dengan suaminya,” katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyebabkan kematian.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619