AGENDA

Kes keganasan rumah tangga meningkat kepada 7,116 kes pada 2024

4 Mac 2025, 4:03 AM
Kes keganasan rumah tangga meningkat kepada 7,116 kes pada 2024

KUALA LUMPUR, 4 MAC: Statistik kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan peningkatan iaitu 7,116 kes tahun lepas berbanding 5,507 kes pada 2023.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata susulan itu, keperluan pindaan ke atas Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (Akta 521) serta perundangan lain yang berkaitan akan dikaji dari semasa ke semasa bagi memastikan kawalan dan tindakan perundangan ditambah baik.

“Pada waktu ini Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) meletakkan fokus utama pengurusan kes keganasan rumah tangga dengan kerjasama strategik agensi kerajaan serta pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) melalui penubuhan Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga (JKRT).

“JKRT memainkan peranan menyelaras dan memantau isu dan inisiatif berkaitan keganasan rumah tangga secara holistik meliputi inisiatif seperti analisis ke atas data kes keganasan rumah tangga, aspek advokasi, bantuan perlindungan, khidmat sokongan dan penguapayaan diri,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (HARAPAN-Port Dickson) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang memperkenalkan sebarang pindaan undang-undang dalam meningkatkan perlindungan kepada mangsa keganasan rumah tangga.

Menjelas lanjut, Noraini berkata melihat kepada kepentingan institusi keluarga yang kukuh sebagai asas pembinaan masyarakat, KPWKM sedang mengemas kini Dasar dan Pelan Tindakan Keluarga Negara bagi memastikan dasar itu selari dengan struktur keluarga masa kini.

“Menjadi harapan KPWKM, dengan adanya struktur keluarga yang utuh dan nilai-nilai kekeluargaan yang positif secara tidak langsung dapat mengurangkan kes keganasan rumah tangga yang berlaku.

“Melalui pendekatan menyeluruh whole-of-government dan whole-of-society, KPWKM akan terus komited dalam menangani kes keganasan rumah tangga kerana menerusi jaringan kerjasama dan sinergi pelbagai sektor ini, semua agensi dan lapisan masyarakat dapat memainkan peranan dan tanggungjawab bersama untuk memberi sokongan sosial kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619