AGENDA

Hampir 300,000 guna khidmat kereta api menjelang puasa di Indonesia

2 Mac 2025, 3:23 PM
Hampir 300,000 guna khidmat kereta api menjelang puasa di Indonesia

JAKARTA, 2 MAC: Lebih 246,000 penumpang menggunakan perkhidmatan kereta api jarak jauh di seluruh Indonesia dalam beberapa hari kebelakangan ini, susulan peningkatan permintaan menjelang Ramadan, menurut pengendali kereta api negara, PT Kereta Api Indonesia (KAI).

Syarikat itu melaporkan seramai 125,008 penumpang pada 28 Feb, diikuti 69,719 pada 1 Mac dan 51,400 pada 2 Mac, dengan jumlah itu dijangka terus meningkat selari dengan penjualan tiket, kata Naib Presiden Perhubungan Awam KAI, Anne Purba, dalam satu kenyataan.

“Fenomena pulang awal sebelum Ramadan adalah kebiasaan kerana ramai ingin menyambut hari pertama berpuasa bersama keluarga.

“KAI komited untuk memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan kesiapsiagaan operasi, menambah baik kemudahan serta memperkenalkan inovasi bagi meningkatkan keselesaan perjalanan,” katanya.

Anne turut menjangkakan lonjakan perjalanan dengan kereta api akan berterusan menjelang tempoh perjalanan pulang sempena Aidilfitri, dikenali sebagai mudik, yang merupakan antara perjalanan tahunan terbesar di dunia.

Menurut KAI, setakat ini sebanyak 1,393,836 tiket telah terjual, bersamaan 40.47 peratus daripada 3.44 juta tempat duduk yang disediakan bagi tempoh perayaan Aidilfitri 2025.

“Angka ini menunjukkan permintaan tinggi terhadap perjalanan kereta api sepanjang musim perayaan Aidilfitri,” katanya, sambil menambah bahawa tiket kereta api jarak jauh boleh ditempah sehingga 45 hari lebih awal.

Sebagai negara dengan penduduk Islam terbesar di dunia, Indonesia menyaksikan jutaan penduduk meninggalkan bandar utama setiap tahun untuk meraikan Aidilfitri bersama keluarga, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap perkhidmatan perjalanan udara dan darat, termasuk kereta api dan bas.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619