AGENDA

SPRM sahkan Ismail Sabri disiasat berkait kes rasuah, pengubahan wang haram

2 Mac 2025, 11:28 AM
SPRM sahkan Ismail Sabri disiasat berkait kes rasuah, pengubahan wang haram

PUTRAJAYA, 2 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sedang disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika Ismail Sabri menerajui negara.

Siasatan ke atas bekas Perdana Menteri kesembilan itu dijalankan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

"Sehubungan dengan itu, bekas Perdana Menteri diarahkan untuk membuat pengisytiharan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 pada 11 Disember 2024 dan pengisytiharan tersebut telah dibuat secara rasmi pada 10 Februari lalu," menurut kenyataan itu.

Selain itu, SPRM memaklumkan berdasarkan maklumat baharu dan hasil risikan, pihaknya telah menahan empat pegawai kanan yang berkhidmat di bawah Ismail Sabri.

Menurut SPRM susulan siasatan lanjut ke atas empat individu berkenaan, pemeriksaan telah dijalankan di kediaman serta tiga premis lain yang dipercayai sebagai "safehouse".

Hasil operasi penggeledahan di lokasi tersebut, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa antaranya Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc, dan Yuan serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.

SPRM turut memaklumkan Ismail Sabri hadir untuk memberikan keterangan pada 19 Februari lalu namun tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan selanjutnya.

"Seramai 10 saksi lain dikenal pasti dan akan dipanggil untuk membantu siasatan dalam masa terdekat," menurut SPRM.

SPRM menegaskan siasatan dijalankan secara bebas, profesional dan mengikut lunas undang-undang yang berkuat kuasa.

"SPRM komited untuk memastikan bahawa sebarang bentuk salah laku berkaitan rasuah dan pengubahan wang haram ditangani dengan tegas demi kepentingan negara," menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619