ad
AGENDA

PM: Dividen KWSP tinggi cerminkan pelabur yakin dasar kerajaan

1 Mac 2025, 8:45 AM
PM: Dividen KWSP tinggi cerminkan pelabur yakin dasar kerajaan

KUALA LUMPUR, 1 MAC: Pencapaian Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencerminkan keyakinan pelabur terhadap dasar Kerajaan MADANI yang mesra pertumbuhan dan pelabur, disokong reformasi fiskal di bawah kerangka Ekonomi MADANI sekali gus memberi manfaat kepada rakyat untuk pertumbuhan sejagat dan lestari, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

KWSP hari ini mengumumkan kadar dividen sebanyak 6.30 peratus bagi simpanan konvensional dengan jumlah agihan RM63.05 bilion dan 6.30 peratus bagi simpanan syariah dengan jumlah agihan RM10.19 bilion.

Jumlah keseluruhan agihan bagi 2024 adalah sebanyak RM73.24 bilion.

Kadar dividen tersebut adalah yang tertinggi untuk tempoh sejak 2017.

“Alhamdulillah, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengumumkan kadar dividen yang gemilang, dengan jumlah agihan tertinggi dalam sejarah, yakni RM73.24 bilion.

“Malah, simpanan shariah juga melakar sejarah, dengan julung kalinya mencapai kadar yang setara dengan Simpanan Konvensional,” kata beliau menerusi hantaran di platform media sosial “X”, pada Sabtu.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata prestasi memberangsangkan KWSP itu dipacu kepesatan pasaran modal Malaysia yang mekar di tengah tantangan ekonomi global yang penuh dengan pelbagai cabaran.

“Dengan keyakinan yang semakin meningkat dalam ekonomi negara, insya-Allah kita akan mara dengan penuh iltizam, memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dapat dirasai oleh seluruh rakyat,” kata beliau.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.