AGENDA

Minta rasuah RM20,000, wartawan portal berita ditahan SPRM

1 Mac 2025, 2:54 AM
Minta rasuah RM20,000, wartawan portal berita ditahan SPRM

PUTRAJAYA, 1 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan seorang wartawan sebuah portal berita tempatan di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor kira-kira 11 malam tadi, bagi membantu siasatan berhubung kes rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi Bernama berkata penahanan wartawan lelaki itu dibuat berhubung dakwaan kes rasuah, dan bukannya mengenai sebarang laporan berita yang ditulisnya.

Wartawan berkenaan kini direman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Sebuah portal berita hari ini melaporkan seorang wartawannya ditahan SPRM.

Azam berkata wang tunai berjumlah kira-kira RM20,000 telah disita.

Sementara itu menurut sumber, wartawan berkenaan disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik, serta tidak menulis lagi tentang sebuah agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

“Suspek ditahan kerana dipercayai meminta dan menerima rasuah, bukannya sebab laporan berita yang ditulisnya mengenai pendatang asing.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki meminta wang rasuah RM100,000 tetapi setelah berunding, dia bersetuju menerima ‘pendahuluan’ kira-kira RM20,000,” katanya.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619