ad
BUDAYA

Remedi Kerinduan Buat Abang Van

1 Mac 2025, 12:30 AM
Remedi Kerinduan Buat Abang Van

Oleh Fazleena Hishamuddin

Ilustrasi FAHMI MUSTAFFA

Sudah hampir sebulan Acik Rosnah ambil alih bawa van. Budak-budak semua tak happy macam selalu. Kalau Bang Anep, riuh-rendah van jadinya. Macam party. Lagu pilihan Acik Rosnah semua boring. Lagu Melayu klasik–siapa nak dengar? Kalau dengan Bang Anep, semua lagu terkini dan sensasi.

Sebelum Bang Anep kena tahan reman, dia selalu main APT. Nyanyian Rose Blackpink dengan Bruno Mars. Lagu paling popular satu dunia. Pagi sebelum masuk sekolah dan tengah hari waktu balik rumah. Berjoget sakan semua. Yang mamai jadi cergas. Yang lesu jadi bersemangat. Bang Anep memang trendy. Dia tahu apa yang budak-budak zaman sekarang minat.

“Assalamualaikum Umairah.”

Suara Bang Anep yang serak basah terngiang-ngiang. Dia akan bagi salam pada aku setiap hari, setiap kali aku masuk dan keluar van. Yang paling aku teringat-ingat ialah kenyit matanya setiap kali selesai hulur dan tutup salam. Benda ini dia tak buat pada orang lain. Cuma aku. Pasti aku istimewa di hatinya.

Kini tiada lagi salam, kenyitan dan layanan mesranya. Jiwa aku kosong.

Di sekolah kecoh waktu Bang Anep ditangkap polis untuk siasatan. Terutamanya guru-guru dan budak kelas aku sendiri. Teruk aku digasak dengan soalan-soalan yang tak mampu dijawab. Padahal bukan aku seorang yang naik van Bang Anep. Johari dengan Aisyah pun naik van yang sama. Tapi yang teruk kena soal, aku. Alasannya, Bang Anep ditahan sebab videonya viral. Tak hairan pun sebab Bang Anep memang ramai follower di TikTok. Cuma dalam video yang viral, aku ada bersama.

Selama ini Bang Anep memang selalu buat live dalam van. Siapa yang tak kenal dengan nama Anep Driver Van di TikTok? Sebagai content creator yang popular, dia memang suka merakam aktiviti kami pergi dan balik sekolah. Dia mahu kongsi kerjayanya sebagai pemandu van yang penyayang.

Macam-macam content yang dia buat. Akaun dia ada lebih 300 ribu pengikut di TikTok. Videonya dikongsi ramai. Selama bertahun-tahun dia buat content, tak ada pula jadi isu. Cuma baru-baru ini ada orang masukkan video itu dalam X yang dulu orang panggil Twitter. Bang Anep kena bashed teruk.

Netizen ramai-ramai report akaun dia. Minggu lepas tak pasal-pasal Bang Anep kena tahan. Sebelum itu Bang Anep ada buat pengakuan yang dia tak takut. Sebab tak buat salah. Netizen bertambah marah. Esoknya, Bang Anep ditahan polis.

Masa kejadian aku memang tak sedar, sebab aku tertidur dalam van. Penat sangat, sebab ada pertandingan bola jaring pagi itu di sekolah. Sampai van, aku terus lelap. Jadi aku memang tak sedar apa yang jadi.

Van kosong dalam rakaman itu, mungkin Bang Anep tak nak kejutkan aku terlalu awal. Jadi dia hantar semua orang balik dulu.

Aku berada dalam posisi duduk dengan kepala terlentok pada dinding van. Selepas membuat sedikit intro dengan ceria seperti selalu, dia membaringkan tubuh aku. Bang Anep kemudian cuba bercakap-cakap dengan aku, tapi aku tetap lena. Dia kemudian tanggalkan tudung dan melepaskan rambut aku sambil berkata: kena bagi angin masuk. Kesian dia, penat sangat.

Matanya bersinar merenung sambil mengusap rambut aku dengan lembut. Bang Anep kemudian meraba bibir aku.

Sambil sesekali memandang fonnya, bercakap dengan audience. Tangannya kemudian ke pipi, dahi dan telinga aku. Dia melakukan dengan penuh perhatian. Sehinggalah aku terjaga.

Sambil ketawa manja, menampakkan gigi bertindihnya yang comel, dia menghulurkan air mineral. Aku minum. Live berakhir selepas dia minta aku melambaikan tangan ke arah kamera, sambil mengucapkan selamat tinggal.

Jenis kesalahan apa yang dibuat Bang Anep? Sampai hari ini aku masih tak faham, walau sudah berpuluh kali menontonnya. Bukan setakat video, caption yang ditulis Bang Anep pun dihentam teruk.

Hari ini crush kita tido sebab penat sangat. Kita tak sampai hati nak kejut.

Apa masalahnya dengan caption itu? Kami semua tahu yang Bang Anep bergurau. Untuk aku sendiri, tentulah bangga dipanggil crush.

Semua orang di kawasan kejiranan kami kenal dengan Bang Anep. Anak daripada keluarga baik-baik. Ayah dan uminya orang kuat masjid. Semua orang tahu Bang Anep ringan tulang. Mak bapak anak-anak yang menumpang van Bang Anep semuanya menyokong, termasuk ayah dan mak aku. Semua orang tahu Bang Anep tak akan buat perkara yang jahat.

Selepas direman seminggu, Bang Anep didakwa dengan dua pertuduhan iaitu melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak perempuan. Yang dimaksudkan kanak-kanak perempuan itu ialah aku.

Hari yang penuh duka buat kami semua.

Seluruh penduduk kampung berpakat mengumpulkan duit jaminan Bang Anep. 40 ribu dapat dikumpulkan tak sampai tiga hari. Bang Anep terima sokongan padu, bukan saja dari saudara dan sahabat terdekat, tetapi pengikutnya di media sosial. Berkat ayahnya yang ada hubungan baik dengan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan, maka dilantiknya peguam yang handal untuk membantu kes secara percuma.

Bang Anep dilepaskan dengan jaminan dan harus berkelakuan baik. Kesnya masih berjalan.

Apa itu amang seksual? Pertama kali aku dengar. Walaupun sudah masuk sekolah menengah, kami tak diajar. Seks, aku tahu. Jadi aku tak boleh terima bila Bang Anep didakwa atas faktor itu. Aku tak rasa yang Bang Anep melakukan itu atas sebab seks. Dia sayangkan aku dan mahu aku dilindungi.

Apatah lagi aku sendiri rela diperlakukan begitu.

Terus terang aku suka bila Bang Anep membelai aku. Ada suatu kenikmatan yang sukar untuk diterangkan. Sejak datang haid, ada perasaan yang lain setiap kali kami bersentuhan.

Mungkinkah aku sudah jatuh hati padanya? Semua orang fikir dan bercakap tentang abang van. Perasaan aku? Tiada siapa peduli.

Setelah sekian lama tidak bersua, aku ternampak kelibat Bang Anep naik basikal ke masjid untuk solat Jumaat. Waktu itu van kami baru saja membelok ke simpang masjid. Jalan sesak dengan kereta dan motosikal yang beratur di pinggir jalan.

Tidak berkelip mataku memandang Bang Anep yang lengkap dengan kopiah dan kain pelikat. Wajah yang amat aku rindukan. Budak-budak hingar dan memanggil-manggil namanya sambil tingkap van diturunkan. Tak endah Acik Rosnah yang melarang. Bang Anep sedar tentang itu. Lekas-lekas dia melajukan kayuhan masuk ke perkarangan masjid.

Mata kami tidak bertaut. Hatiku pedih sekali.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.