ad
AGENDA

Seorang lelaki ditahan, pelbagai jenis dadah bernilai RM2.58 juta dirampas

28 Feb 2025, 11:30 AM
Seorang lelaki ditahan, pelbagai jenis dadah bernilai RM2.58 juta dirampas

JOHOR BAHRU, 28 FEB: Seorang lelaki tempatan ditahan dan polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM2.58 juta dalam satu operasi di sekitar daerah ini pada 16 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata lelaki berusia 39 tahun yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ sindiket itu ditahan di tepi Jalan Datuk Abdullah Tahir di sini pada jam 4.30 pagi.

Beliau berkata serbuan susulan dilakukan di dua kondominium, yang membawa kepada keseluruhan rampasan dadah melibatkan 15.1 kilogram serbuk ekstasi dan 55 gram syabu.

“Kegiatan pengedaran ini dipercayai aktif sejak Januari lepas dengan menjadikan kondominium berpagar dan berpengawal sebagai tempat menyimpan serta membungkus semula dadah.

“Lelaki tersebut dipercayai tinggal di tempat lain dan menggunakan premis (kondominium) sebagai stor, yang turut disewa bukan atas nama suspek,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan untuk memproses dan membungkus dadah serta sebuah kereta dan wang tunai berjumlah RM220.

Kumar berkata hasil ujian air kencing mendapati lelaki tersebut positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

Beliau berkata suspek dituduh di mahkamah hari ini atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya sedang mengesan seorang lelaki dikenali Tan Hua Chiek, 34, beralamat di Kuching, Sarawak, bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Justeru, beliau meminta bantuan orang ramai untuk tampil jika mempunyai maklumat mengenai individu itu.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan individu lain yang terbabit dalam sindiket berkenaan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.