AGENDA

Liga Super: Selangor, Sabah seri tanpa jaringan

28 Feb 2025, 12:05 AM
Liga Super: Selangor, Sabah seri tanpa jaringan

PETALING JAYA, 28 FEB: Hasrat Selangor FC untuk meraih tiga mata ketika melayan kunjungan Sabah FC tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam ini.

Keputusan seri itu sedikit menghampakan penyokong setia skuad Red Giants, yang masih segar dengan kejayaan menjuarai Piala Cabaran pada Sabtu lalu.

Permainan berlangsung dalam tempo perlahan pada separuh masa pertama, dengan kedua-dua pasukan gagal mencipta peluang berbahaya dan terpaksa menuju ke bilik persalinan tanpa sebarang jaringan.

Sabah hampir memecah kebuntuan pada minit ke-74 selepas dihadiahkan sepakan penalti, namun tendangan Darren Lok mudah dibaca dan ditangkap kemas oleh penjaga gol Selangor,Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi

Walaupun kedua-dua pasukan terus mengasak ke kubu lawan masing-masing, ketumpulan penyudah menggagalkan usaha mereka sehingga wisel penamat dibunyikan.

Keputusan seri itu menyaksikan Selangor kekal di tangga kedua liga dengan 43 mata, manakala Sabah berada di kedudukan ketiga dengan 35 mata.

Sementara itu, Sri Pahang FC gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila dibelasah 1-5 oleh Terengganu FC di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh.

Pasukan pelawat memulakan aksi dengan garang apabila Muhammad Akhyar Rashid membuka jaringan seawal minit kedua menerusi rembatan kencang dari dalam kotak penalti.

Terengganu terus menambah derita tuan rumah dengan jaringan cantik Muhammad Safawi Rashid pada minit ke-20, sebelum Muhammad Safwan Mazlan meledak gol ketiga selang lapan minit kemudian.

Sri Pahang memperoleh satu-satunya gol menerusi Sergio Fabian Aguero pada minit ke-39, namun Terengganu terus berpesta gol dalam babak kedua dengan dua lagi jaringan Ismaheel Akinade pada minit ke-58 dan Manuel Gelito Ott pada minit ke-89 Bagi melengkapkan kemenangan bergaya.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619