AGENDA

Festival raya 108 jam tanpa henti mulai 21 Mac, sedia pengisian rohani

27 Feb 2025, 2:02 PM
Festival raya 108 jam tanpa henti mulai 21 Mac, sedia pengisian rohani
Festival raya 108 jam tanpa henti mulai 21 Mac, sedia pengisian rohani

SHAH ALAM, 27 FEB: Buat julung kali, Selangor menganjurkan festival raya 108 jam tanpa henti di Pusat Konvensyen Setia City bermula 21 hingga 25 Mac depan.

Penganjuran Festival Raya Selangor Havoc 2025 dengan kerjasama Havoc Event&Management Sdn Bhd menampilkan 180 vendor menjual pelbagai persiapan Aidilfitri.

EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi berkata penganjuran festival yang disertai jenama terkemuka itu bertujuan memudahkan orang ramai membuat persiapan Aidilfitri.

“Selangor turut membawa usahawan-usahawan Selangor yang sedang meningkat naik supaya mereka memanfaatkan festival ini sebagai platform memperkenal produk masing-masing.

“Kita berharap penganjuran program ini memberi sokongan kepada ekosistem keusahawanan Selangor sekali gus menyumbang kepada sektor pelancongan negeri,” katanya.

Ditemui pada sidang media festival itu, Mohd Najwan memaklumkan acara yang mendapat sokongan Unit Perancangan Ekonomi Negeri dan Tourism Selangor turut diselitkan program kerohanian.

“Selain membuat persiapan perayaan, penganjur turut menyediakan bilik khas untuk tarawih selain ada pengisian lain seperti qiamullail, selawat dan qasidah.

“Kita jangka festival yang dimasukkan dalam kalendar Tahun Melawat Selangor 2025 itu dirasmi Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 21 Mac nanti,” katanya.

[caption id="attachment_689240" align="alignnone" width="865"] EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi (tengah) bergambar bersama penganjur Festival Raya Selangor Havoc 2025 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam pada 27 Februari 2025. Foto SITI ROHAIZAH/MEDIA SELANGOR[/caption]

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event&Management Sdn Bhd Datuk Firdaus Nadzaman berkata pihaknya menyasarkan pusingan modal berjumlah RM10 juta bagi lima hari penganjuran dengan kehadiran 2.5 juta pengunjung.

“Kita bercadang jadikan festival ini sebagai acara tahunan berikutan mahu menarik perhatian usahawan luar agar dapat meningkatkan sektor pelancongan negeri.

“Pengunjung yang hadir berpeluang memenangi hadiah wang tunai sehingga RM10,000 dan pelbagai cabutan bertuah disediakan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619