AGENDA

MB: Tarik lesen, senarai hitam peniaga 'Ali Baba' tapak bazar Ramadan

27 Feb 2025, 1:00 PM
MB: Tarik lesen, senarai hitam peniaga 'Ali Baba' tapak bazar Ramadan

SHAH ALAM, 27 FEB: Selangor akan bertindak tegas dengan menarik balik lesen serta menyenarai hitam peniaga bazar Ramadan yang didapati menjual permit atau tapak perniagaan kepada pihak ketiga.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memandang serius perkara itu walaupun setakat ini tidak menerima sebarang aduan berlaku perbuatan ‘mengalibabakan’ tapak atau lot perniagaan yang disediakan kepada peniaga untuk Ramadan kali ini.

“Kita sudah minta pihak berkuasa tempatan (PBT) selaku pihak yang mengeluarkan lesen atau permit untuk melakukan pemantauan dan mengambil tindakan tegas kepada pihak yang terbabit termasuk tidak membenarkan mereka berniaga.

“Tindakan mereka umpama menganiaya pihak yang benar-benar ingin berniaga tetapi kita lega sebab setakat ini, kita tidak dengar kes seperti ini berlaku di Selangor terutamanya di tapak atau ruang perniagaan yang disediakan PBT atau agensi di bawah Kerajaan Negeri,” katanya selepas merasmikan Festival Ramadan Selangor (Festira) 2025 di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri dilaporkan meminta penguat kuasa PBT sentiasa berada di lokasi bagi menjamin kawasan bazar Ramadan yang melibatkan 15,882 tapak di seluruh Selangor, tidak dicerobohi peniaga haram.

Berhubung Festira, Amirudin berkata walaupun setelah 11 tahun dianjurkan, festival brkenaan kekal menjadi pilihan rakyat Selangor sebagai lokasi beli-belah yang wajib dikunjungi sepanjang Ramadan.

Beliau berkata Festira yang dianjurkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melalui anak syarikat PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dirangka khusus bagi menyokong agenda Kerajaan Negeri dalam membantu usahawan kecil dan sederhana mengembangkan perniagaan.

Festival kali ini, katanya disertai 1,500 usahawan yang menawarkan pelbagai produk melibatkan empat lokasi iaitu Kompleks PKNS Shah Alam, pusat beli-belah SACC Mall, Kompleks PKNS Bangi dan satu lokasi baharu iaitu di Galeria SA Sentral di Seksyen 14.

“Kita sasarkan kehadiran tiga juta pengunjung dengan transaksi jualan sekitar RM100,000 bagi setiap peniaga,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619