AGENDA

PM umum peruntukan RM35 juta sokong ekosistem wakaf Malaysia

27 Feb 2025, 5:02 AM
PM umum peruntukan RM35 juta sokong ekosistem wakaf Malaysia

PUTRAJAYA, 27 FEB: Kerajaan, secara dasarnya bersetuju memperuntukkan dana sejumlah RM35 juta bagi menyokong dan merancakkan ekosistem wakaf di Malaysia, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata RM30 juta disalurkan untuk menyokong program myWaqafPTPTN yang dilancarkan tahun lepas dan RM5 juta lagi untuk pembentukan Permodalan Wakaf Nasional Bhd (PWNB).

“(myWaqafPTPTN) biasiswa wakaf pendidikan, yang diurus bersama Yayasan Waqaf Malaysia dan PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) manakala untuk modal awal pembentukan entiti Permodalan Wakaf Nasional Bhd, peruntukan sebanyak RM5 juta,” kata beliau.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sambutan Bulan Wakaf Kebangsaan 2025 bertemakan "Waqaf Membangun Malaysia Madani" di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Program myWaqafPTPTN dilancarkan pada tahun lepas dan pengumuman peruntukan RM30 juta itu merupakan suntikan baharu kerajaan bagi tahun ini untuk membantu mahasiswa daripada kalangan asnaf, M40 dan B40.

Sementara itu, RM5 juta adalah untuk mewujudkan PWNB (sebelum ini dikenali sebagai Perbadanan Waqaf Nasional Bhd), bertujuan menguruskan dana wakaf yang lebih besar khususnya dalam membantu pembangunan kewangan sosial Islam (wakaf, baitulmal, zakat).

Anwar berkata pembangunan masjid, zakat fitrah, dan wakaf merupakan tanggungjawab bersama dalam masyarakat Islam yang melibatkan peranan penting bukan sahaja daripada pemerintah, tetapi juga rakyat dan umat Islam secara keseluruhan.

“Dalam semua kehidupan, daripada membangunkan masjid kepada soal zakat fitrah, soal wakaf, ia tanggungjawab bersama.

“Ia tuntutan kepada semua. Beri sumbangan sedaya upaya, sekecil mana pun. Selagi ada habuan, zakat fitrah pun banyak. Melainkan dia (seseorang) itu terlantar dalam kalangan kelompok miskin tegar,” kata Anwar.

Beliau berkata kerajaan juga tidak akan mengetepikan tanggungjawab pemerintah untuk menggunakan dana dengan bertanggungjawab dan tidak menyalahgunakan kuasa serta kedudukan untuk memperkaya diri sendiri.

“(Kaut) ratusan juta di sana, ratusan juta ringgit di sini. Jadi kalau tanya saya, maka saya harap dalam beberapa tahun, kita dapat hentikan gelagat ini,” kata Anwar.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beberapa syarikat milik Melayu telah menyatakan kesediaan untuk memperkukuh kekuatan ekonomi wakaf negara menerusi sumbangan kepada Wakaf MADANI.

“Sekarang kita sedang memperincikan beberapa peraturan. Termasuk syarat-syarat yang mereka mahu masukkan dalam peraturan dan badan wakaf ini,” kata beliau.

Anwar berkata Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) juga akan menyelaraskan pelaksanaan kerjasama itu bagi memastikan segala urusan berkaitan wakaf dapat berjalan lancar.

Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.

-BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619