ad
AGENDA

Amirudin terima permohonan maaf, ingatkan semua pihak elak keluar fakta mengelirukan

26 Feb 2025, 5:10 AM
Amirudin terima permohonan maaf, ingatkan semua pihak elak keluar fakta mengelirukan

SHAH ALAM, 25 FEB : Dato’ Menteri Besar Selangor menerima permohonan maaf Menteri Besar Kedah berhubung dakwaan berunsur fitnah mengenai projek pembersihan Sungai Klang.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyifatkan kes melibatkan Muhammad Sanusi Md Nor selesai dan mengingatkan semua pihak lebih berhati-hati menyampaikan fakta agar tidak menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.

“Hari ini hari pertama perbicaraan dan kita telah membuat satu ketetapan untuk menyelesaikan hal ini dengan satu tuntutan maaf yang disuarakan (defendan) di mahkamah terbuka.

“Ya, semua akan beringat dan berhati-hati menyampaikan fakta dan perlu mengelak sebarang kekeliruan kepada masyarakat.

“Selesai tuntutan sebagaimana permintaan saya permohonan maaf, hanya kemaafan kupinta dan akhirnya maaf itu dibuat juga,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Amirudin turut meluahkan kesyukuran kerana terbukti dakwaan dibuat Muhammad Sanusi tidak mempunyai asas yang kukuh.

Terdahulu, saman fitnah difailkan Amirudin terhadap Muhammad Sanusi selesai secara baik selepas menteri besar Kedah itu membuat permohonan maaf secara terbuka di Mahkamah Tinggi pagi ini.

Pada 9 Ogos 2023, pasukan peguam Amirudin menyampaikan surat tuntutan kepada Muhammad Sanusi memohon defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.

Ia susulan ucapan wakil rakyat Jeneri itu dalam Jelajah Mega PN Best ‘Sayangi Kedah Sejahtera’ yang mendakwa skandal antara Amirudin dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan yang mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.

Dalam writ saman itu, Amirudin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang pemimpin PAS itu daripada mengulangi dakwaan berkenaan.

Katanya, penyataan fitnah itu diucapkan defendan bagi merendahkan reputasi plaintif atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan serta dicetuskan niat jahat.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.