SHAH ALAM, 26 FEB: Saman fitnah yang difailkan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari terhadap Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor diselesaikan secara baik di Mahkamah Tinggi pagi ini.
Menteri besar Kedah itu selaku defendan memohon maaf secara terbuka di hadapan Hakim Rozi Bainun sebagai terma penyelesaian kes fitnah berkaitan projek pembersihan Sungai Klang.
Hakim kemudian memutuskan perkara itu antara kedua-dua pihak dan menerima surat permohonan maaf daripada Muhammad Sanusi kepada Amirudin sebagai plaintif.
"Kes selesai dan ditutup sepenuhnya," tegasnya sambil menyatakan teks permohonan maaf Muhammad Sanusi tidak boleh disiarkan kepada umum, sebaliknya direkodkan di mahkamah sahaja.
[caption id="attachment_689027" align="aligncenter" width="729"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari hadir ke mahkamah berkait dengan kes saman fitnah terhadap Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang mengaitkan beliau dengan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan dalam projek pembersihan Sungai Klang di Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 26 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Dalam pada itu, peguam Mohd Haijan Omar yang mewakili Amirudin berkata prosiding pertama kes sepatutnya berlangsung hari ini, tetapi kedua-dua pihak bersetuju penghakiman kepada mahkamah.
Katanya, ini berdasarkan terma defendan memohon maaf secara umum kepada plaintif dengan membaca kenyataan maaf di Mahkamah Terbuka pada tarikh penghakiman persetujuan direkodkan (hari ini).
"Defendan juga memberi aku janji tidak akan menerbitkan, membantu, mengulangi dan menyebabkan diterbitkan kata-kata seakannya pada masa depan.
"Persetujuan dan terima atas penyelesaian penuh dan muktamad antara plaintif dan defendan. Selain itu, tiada kos dalam penghakiman persetujuan ini," katanya.
Peguam Wan Rohimi Wan Daud dan Yusfarizal Yusof mewakili defendan tidak membantah mengenainya.
[caption id="attachment_689025" align="aligncenter" width="728"] Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bercakap kepada media di Mahkamah Tinggi, Shah Alam pada 26 Februari 2025. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Pada 9 Ogos 2023, pasukan peguam Amirudin menyampaikan surat tuntutan kepada Muhammad Sanusi memohon defendan memohon maaf dalam tempoh 48 jam dan membayar ganti rugi RM10 juta.
Ia susulan ucapan wakil rakyat Jeneri itu dalam Jelajah Mega PN Best 'Sayangi Kedah Sejahtera' yang mendakwa skandal antara Amirudin dan ahli perniagaan Tan Sri Vincent Tan yang mahu melaksanakan projek bernilai RM10 bilion di Sungai Klang.
Dalam writ saman itu, Amirudin menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan yang tidak dinyatakan, serta perintah injunksi untuk menghalang pemimpin PAS itu daripada mengulangi dakwaan berkenaan.
Katanya, penyataan fitnah itu diucapkan defendan bagi merendahkan reputasi plaintif atau mendedahkannya kepada kebencian, penghinaan dan cemuhan serta dicetuskan niat jahat.