AGENDA

SKMM: Warga emas muat naik hantaran bersifat palsu dijel enam bulan

25 Feb 2025, 1:07 PM
SKMM: Warga emas muat naik hantaran bersifat palsu dijel enam bulan

PUTRAJAYA, 25 FEB: Seorang warga emas dijatuhkan hukuman penjara enam bulan selepas gagal membayar denda RM30,000 atas kesalahan memuat naik kandungan bersifat palsu mengenai Yang di-Pertuan Agong dan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 menggunakan aplikasi Facebook miliknya.

Berdasarkan kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Johari Ismail, 67, yang melakukan kesalahan itu pada 8 Feb lepas, menjalani hukuman terbabit di Penjara Kajang bermula pada hari ini.

Menurut SKMM, Hakim Ahmad Fuad Othman menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-dua sekali, di Mahkamah Sesyen, Sepang hari ini.

Selepas menjatuhkan hukuman, Hakim Ahmad Fuad menasihati bapa kepada empat anak itu agar menyedari lebih awal tentang kesan hantaran berkenaan kerana tindakan terbabit bukan sahaja menimbulkan kebencian kepada kerajaan, malah masyarakat turut memandang rendah terhadap Institusi Diraja.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SKMM Faten Hadni Khairuddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Warga emas itu ditahan semalam sejurus waran tangkap dikeluarkan akibat kegagalannya menghadiri prosiding pertuduhan di mahkamah.

Pada kira-kira 11.30 pagi, 8 Feb, Johari memuat naik hantaran bersifat kandungan palsu dan diletakkan untuk tontonan umum yang mendakwa Majlis Raja-Raja membuat undian untuk mengambil tindakan terhadap kerajaan kerana ingkar melaksanakan dokumen tambahan melibatkan kes bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Hantaran berkenaan kemudian dilihat pasukan siasatan SKMM di SKMM Tower 1, Jalan Impact, Cyberjaya, kira-kira 12.59 tengah hari pada 9 Feb.

- BERNAMA

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619