AGENDA

Seluruh England: Pearly-Thinaah tekad tamatkan penantian 18 tahun negara

25 Feb 2025, 10:11 AM
Seluruh England: Pearly-Thinaah tekad tamatkan penantian 18 tahun negara

KUALA LUMPUR, 25 FEB: Beregu wanita utama negara, Pearly Tan-M. Thinaah bertekad memecah kebuntuan menjadi gandingan pertama Malaysia selepas 18 tahun mara ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Seluruh England di Birmingham, bulan depan.

Kali terakhir pasangan wanita negara beraksi di separuh akhir adalah Chin Eei Hui-Wong Pei Tty pada edisi 2007 sebelum tewas kepada beregu China, Yang Wei-Zhang Jiewen, 17-21, 7-21.

Walaupun bersemangat untuk mengakhiri penantian sekian lama negara bagi penampilan separuh akhir di kejohanan badminton tertua dunia itu, Thinaah berkata mereka tidak mahu memberi tekanan pada diri sendiri sebaliknya akan menghadapi perlawanan satu demi satu.

Beliau berkata mereka banyak belajar daripada kekalahan di Seluruh England sebelum ini, terutama tidak sabar pada saat genting yang akhirnya membawa padah.

“Saya dalam beberapa kekalahan (Seluruh England) lepas kebanyakan perlawanan kami mendahului tetapi akhirnya tewas. Ia sudah tentu sangat mengecewakan.

“Pada masa itu, kami cenderung untuk menamatkan perlawanan dengan cepat dan kami cuba matikan pukulan dengan pantas. Jadi selepas ini, diharapkan kami lebih tenang dan sabar ketika menghadapi saat genting,” katanya kepada wartawan selepas sesi latihan di sini hari ini.

Pencapaian terbaik gandingan nombor enam terbaik dunia itu di kejohanan tersebut ialah mara sebanyak tiga kali ke suku akhir (2021, 2022 dan 2024) daripada empat penampilan selepas julung kali beraksi di Seluruh England pada 2021.

Dalam pada itu, Thinaah berkata mereka akan berhati-hati terhadap kemungkinan berdepan gadingan yang berubah pasangan terutama dari China, Korea Selatan dan Jepun pada kejohanan itu.

“Sudah tentu ia sedikit berbeza kerana kami tidak tahu gaya permainan mereka disebabkan sebelum ini mereka berganding dengan orang lain, apabila mereka tampil dengan pasangan baharu ia akan ada sedikit perbezaan.

“Sesetengah pukulan mungkin sedikit sulit tetapi itu perkara yang kita perlu belajar. Kita sentiasa waspada dan bersedia terhadap apa juga pukulan yang datang,” katanya.

Kejohanan Seluruh England 2025 akan berlangsung di Utilita Arena Birmingham dari 11-16 Mac ini.

Sebelum itu, Pearly-Thinaah akan beraksi di Orleans Masters 2025 di Palais des Sports, Perancis yang akan diadakan pada 4-9 Mac.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619