AGENDA

KPM tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan murid

25 Feb 2025, 9:03 AM
KPM tingkatkan kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan murid

PUTRAJAYA, 25 FEB: Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus mempertingkatkan aspek pendidikan keselamatan jalan raya dalam kalangan murid dengan menggunakan modul serta kurikulum sedia ada.

Ketua Pengarah Pendidikan Azman Adnan berkata pihaknya sentiasa komited untuk memastikan setiap murid dilengkapi dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

“Sejak sekian lama, KPM telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk memberi kesedaran mengenai kepentingan keselamatan jalan raya.

“Malah, dalam kurikulum kami juga telah disisipkan elemen yang berkaitan dengan kesedaran keselamatan, supaya anak-anak kita faham mengenai pentingnya menggunakan kemudahan lalu lintas dengan sebaik-baiknya,” katanya ditemui selepas melancarkan Takwim Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) Tahun 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas insiden membabitkan murid Tahun Dua Sekolah Kebangsaan Presint 11(1) di sini, yang parah selepas terbabit dalam kemalangan minggu lalu.

Dalam kemalangan Khamis lalu, Khairul Hanafi, 8, dikatakan dirempuh sebuah kenderaan Ketika hendak melintas jalan di hadapan sekolah di sini dan orang ramai terpaksa menterbalikkan sebuah kereta bagi mengeluarkan beliau yang terperangkap di bawahnya.

Ketua Polis Daerah Putrajaya ACP Aidi Sham Mohamed sebelum ini berkata murid itu parah di bahagian kepala selain patah kaki kiri.

Sementara itu, Azman berkata bantuan serta sokongan pelbagai pihak khususnya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) penting dalam usaha meningkatkan kesedaran murid mengenai aspek keselamatan jalan raya.

“Saya kira banyak sekolah yang PIBG mereka sangat aktif. Mereka sentiasa bersama dengan pihak sekolah termasuk memberi sokongan untuk memastikan ada pihak yang mampu mengawal lalu lintas di hadapan sekolah berkenaan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619