SHAH ALAM, 24 FEB: Inisiatif Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) memperkenalkan perkhidmatan bas elektrik (EV) bagi laluan Seksyen 19 ke Seksyen 7 sejak Disember lalu menerima pujian Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari berkata perkhidmatan empat bas EV yang beroperasi 6 pagi hingga 10 malam dengan kekerapan laluan setiap 30 minit itu lebih mesra alam.
[caption id="attachment_688665" align="aligncenter" width="816"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bercakap kepada media sebelum melakukan gimik pelancaran penggunaan bas eletrik bagi program Bas Smart Selangor di Hentian Akhir Bandar, Seksyen 19, Shah Alam pada 24 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
“MBSA memilih laluan ini kerana agak popular dan terima permintaan tinggi. MBSA peruntuk hampir RM5.6 juta untuk tempoh tiga tahun bagi menjayakan khidmat ini.
"Setakat ini, mengikut perkiraan MBSA bas EV mampu kurangkan 700 kilogram karbon dioksida sehari berbanding guna diesel. Jadi kalau dapat tambah lagi, ia akan beri kesan lebih baik,” katanya ketika majlis pelancaran bas EV berkenaan di Hentian Akhir Bandar, Seksyen 19, di sini.
[caption id="attachment_688661" align="aligncenter" width="814"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari melakukan gimik pelancaran perkhidmatan bas elektrik bagi program Bas Smart Selangor di Hentian Akhir Bandar, Seksyen 19, Shah Alam pada 24 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Sehubungan kejayaan itu, Amirudin berkata pentadbirannya berhasrat memperluaskan perkhidmatan bas EV terutama di Lembah Klang Raya Selangor (SGKV) memandangkan kesan baik kepada alam sekitar selain menjimatkan kos.
Sejak 2015, Kerajaan Negeri memperkenalkan program Bas Smart Selangor dan dilaksanakan secara konsisten di semua pihak berkuasa tempatan merangkumi keseluruhan 60 laluan dan pengoperasian 164 bas.
Selain MBSA, Majlis Bandaraya Petaling Jaya juga sudah menggunakan dua bas EV pada tahun lalu sebagai projek rintis ke arah menjadikan Petaling Jaya bandar bebas karbon menjelang 2030.
[caption id="attachment_688664" align="aligncenter" width="814"] Orang ramai beratur sebelum menaiki bas elektrik ketika pelancaran perkhidmatan bas elektrik bagi program Bas Smart Selangor di Hentian Akhir Bandar, Seksyen 19, Shah Alam pada 24 Februari 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]