Keberkesanan Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) antara faktor lonjakan kadar peratusan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023 di Selangor.
Dari 89.25 peratus pada 2022, kadar tersebut meningkat kepada 91.23 peratus pada tahun berikutnya. Keputusan itu antara lain hasil kecemerlangan calon yang menyertai PTRS.
Kira-kira 30 peratus atau 3,552 daripada 10,000 peserta mencatat keputusan gred A pada tahun tersebut. Ramai guru mula bercakap kelebihan modul PTRS. Apatah lagi, beberapa soalan ramalan termuat dalam peperiksaan.
Menurut Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) Ahmad Azri Zainal Nor, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Selangor mengakui PTRS membantu menaikkan peratusan keputusan SPM negeri 2023 melalui sepucuk surat.
Pengarah JPN Selangor Dr Jafri Abu turut mengunjungi Ahmad Azri pada bulan lalu dan membentang perbandingan keputusan peperiksaan pertengahan tahun dan peperiksaan percubaan SPM bagi 2024.
Umumnya, perbandingan antara kedua-dua peperiksaan itu “positif dan membanggakan” meski ada satu dua mata pelajaran yang pencapaiannya kurang memuaskan antaranya matematik.
“Ini masalah satu negara tetapi mata pelajaran lain semuanya positif. Saya yakin matematik ini, lepas latih tubi dan sebagainya, ia meningkat semula.
“Saya yakin kalau (peperiksaan) percubaan pun baik, peperiksaan SPM lagi baik,” kata Ahmad Azri yang menyasar 93 peratus kelulusan keseluruhan dan 4.5 gred purata negeri tahun ini.
Justeru, beberapa pihak berhasrat memilikinya sebagai sumber pengajaran. Modul itu juga buruan sekolah terkenal termasuk maktab tentera diraja, maktab rendah sains Mara dan sekolah berasrama penuh.
“Banggalah. Sekolah yang elit macam ini pun hendakkan program kita. Mereka pun pandang tinggi kepada PTRS. Ini kejayaan yang Selangor boleh bangga-banggakan.
“Tidak sia-sia belanja banyak duit, akhirnya memberi manfaat kepada ramai pihak,” katanya kepada Media Selangor pada 12 Februari.
Dalam Belanjawan Selangor 2025, peruntukan RM10 juta disediakan untuk PTRS melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima. Keseluruhan 130,000 pelajar bakal menerima manfaat modul itu pada tahun ini.
Adimodul
Hasil kejayaan pada peringkat SPM, formula tersebut diperluas ke peringkat sekolah rendah bagi membantu murid yang lemah penguasaan membaca, menulis dan mengira (3M) akibat pandemik.
Murid ‘keciciran generasi’ terjejas akibat penutupan sekolah ekoran Covid-19 pada 2020. Justeru, mereka perlu mendalami semula pembelajaran untuk menguasai kemahiran asas itu. Pada masa ini, seramai 25,000 murid dikenal pasti untuk terlibat dalam kelas pemulihan literasi dan numerasi yang akan dijalankan di sekolah-sekolah.
Peruntukan RM1 juta juga disediakan bagi mengadakan Program Literasi dan Numerasi, sekali gus membantu kerajaan persekutuan menjayakan inisiatif Intervensi Kurikulum (IK) pada tahun lalu.
Mulai Januari, MBI giat menyiapkan adimodul atau super module yang menggabungkan modul JPN, pejabat pendidikan daerah dan guru pemulihan yang masing-masing ada modul sendiri.
Adimodul digarap selepas mendengar masalah murid yang dibangkitkan guru pemulihan. Buku itu juga dihiasi grafik dan skim warna yang menarik minat murid.
“Kita akan cetak dan beri (kepada 25,000 murid). Kita juga akan buat seperti kelas PTRS. Kita juga akan masukkan (modul) dalam (portal) ePTRS,” katanya sambil menambah bahan itu dijadual dicetak dalam masa terdekat dan dilancar selepas sambutan Aidilfitri.
[caption id="attachment_680870" align="alignnone" width="911"] Modul buku Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 yang dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]