ad
AGENDA

Tujuh polis antara 23 cedera dalam letupan bom Yala

24 Feb 2025, 12:20 AM
Tujuh polis antara 23 cedera dalam letupan bom Yala

NARATHIWAT, 24 FEB: Dua puluh tiga individu termasuk tujuh orang anggota polis cedera dalam satu insiden letupan bom berhampiran sebuah pasar raya di daerah Bannang Sata, Wilayah Yala, malam tadi.

Ketua Polis Bannang Sata, Kol. Pol. Ranon Surawit, berkata kejadian berlaku pada 8.20 malam waktu tempatan dan dipercayai dilakukan oleh kumpulan bersenjata yang sedang dijejaki pihak berkuasa.

"Ketika kejadian, beberapa anggota polis sedang melakukan rondaan dengan menaiki dua kenderaan pacuan empat roda. Apabila kenderaan polis tiba di pasar raya itu, sebutir bom yang disembunyikan di kawasan berhampiran dan dipercayai diaktifkan menggunakan alat kawalan jauh meletup secara tiba-tiba," katanya kepada media selepas melawat lokasi kejadian di sini, Ahad.

Katanya, semua mangsa yang terdiri daripada tujuh anggota polis dan 16 orang awam telah dibawa ke Hospital Bannang Sata untuk mendapatkan rawatan, dan siasatan polis sedang giat dijalankan.

Insiden letupan itu berlaku sehari sebelum lawatan kerja bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, ke wilayah selatan Thailand dalam usaha mencari penyelesaian kepada konflik yang telah berlarutan sekian lama.

Lawatan itu merupakan kunjungan pertama Thaksin ke wilayah berkenaan sejak dilantik sebagai penasihat tidak rasmi pengerusi Asean, serta lawatan pertamanya ke kawasan itu selepas lebih 20 tahun sejak pentadbirannya dijatuhkan pada 2006.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.